Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tahan sementara waktu saja, kata polis
Diterbitkan:  May 1, 2011 2:35 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Polis menahan 18 individu dalam perhimpunan sempena Hari Pekerja bagi membantah kenaikan harga barang dan menuntut Akta Gaji Minimum dilaksanakan, di sekitar Maju Junction dan Jalan Chow Kit di Kuala Lumpur pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Ibrahim berkata mereka ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

"Mereka ditahan untuk sementara waktu bagi merekodkan keterangan," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Perhimpunan bermula pukul 10.30 pagi disertai hampir 500 pekerja swasta daripada 75 syarikat pelbagai perkhidmatan.

Rata-rata mereka hadir dengan memakai baju berwarna merah dan membawa sepanduk serta kain rentang tertera "kami mahu hak kami", "gaji minimum", "harga barang naik, tapi gaji masih minimum" dan sebagainya.

Suasana pada mulanya terkawal apabila mereka berjalan dari Jalan Chow Kit ke Maju Junction menjadi kecoh apabila mereka yang berhimpun tidak berpuas hati dengan penahanan beberapa rakan mereka, dipercayai ingkar arahan polis supaya bersurai.

Mereka kemudian duduk di pekarangan Menara Tabung Haji sambil membaca protes dan ada yang menyanyikan lagu menuntut hak pekerja.

Selepas selesai melaungkan hak mereka, seorang lelaki dilihat menyampaikan kertas "deklarasi satu Mei 2011" kepada Pesuruhjaya Suhakam James Nagayam, yang berada di lokasi perhimpunan.

Nagayam ketika ditemui berkata tuntutan itu akan dibawa ke pihak berkaitan.

Kesemua yang berhimpun bersurai kira-kira pukul 12 tengah hari.

--Bernama

ADS