Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penulis blog Zakhir Mohamed terus menggesa supaya siasatan dijalankan ke atas "cakap-cakap" berhubung dakwaan konspirasi bagi menukar agama rasmi persekutuan kepada Kristian dan melantik perdana menteri daripada penganut agama itu.

Dalam satu tulisannya di blog bigdogdotcom.wordpress.com semalam, Zakhir berkata ia perlu disiasat rapi kerana ianya mungkin menyebabkan golongan Melayu dan Islam "bangkit dalam keadaan marah."

utusan malaysia, malaysia negara kristian, bigdog "Sudah tiba masa ‘cakap-cakap’ mengenai gerakan ini yang mungkin subversif dan mampu mengganggu gugat keselamatan negara apabila majoriti iaitu orang Melayu-Islam bangkit dalam keadaan marah, disiasat secara rapi.

"Sekiranya benar, maka ianya patut ditangani termasuk mengambil tindakan sewajarnya," kata beliau yang popular dengan nama jolokan Big Dog dalam tulisan itu.

Tulisan itu disiarkannya semalam, ekoran satu laporan akhbar Utusan Malaysia kelmarin berhubung dakwaan pemimpin Kristian berkonspirasi dengan DAP untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara.

Laporan akhbar itu adalah berdasarkan tulisan di blog Zakhir bertajuk 'Making Christianity the official religion' yang turut mendakwa bahawa ahli parlimen Jelutong Jeff Ooi telah menganjurkan pertemuan berkenaan.

utusan malaysia kritsian agama rasmi Dalam tulisan yang disiarkan pada 6 Mei itu, Zakhir berkata seramai 35 orang paderi "dikatakan telah bersumpah untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia dan perdana menteri juga seorang Kristian."

Dakwaan itu bagaimanapun telah dinafikan oleh Pertubuhan Biskop Katolik Malaysia, yang menyifatkan laporan berhubung dakwaan yang disiarkan Utusan Malaysia itu merupakan laporan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, Zakhir ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas berhubung isu berkenaan "sebab sudah ada laporan polis dibuat ke atas saya."

Beliau juga enggan menjelaskan sekiranya polis telah menyiasat beliau berhubung isu berkenaan.

Setakat ini, laporan polis ke atas Zakhir telah dibuat oleh Jeff Ooi dan juga oleh beberapa NGO termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia berhubung petikan daripada blog berkenaan.

ADS