Bekas pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Nazir Hussin Akhtar Hussin menafikan melakukan sebarang kesalahan berkaitan pelaburan yayasan itu sebanyak RM10 juta pada 2020.

Ahli perniagaan itu yang selesai menjalani tahanan reman selama tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mendakwa YBR tidak mengalami kerugian walau sesen pun daripada pelaburan berkenaan.

Malah katanya, yayasan itu memperoleh pulangan RM1.85 juta apabila pelaburan itu dikeluarkan pada November 2022.

Nazir turut menafikan abangnya, Mubarak Hussin, yang turut direman SPRM, memiliki syarikat yang menerima pelaburan YBR itu.

"Pertama sekali nak mulakan dengan perkara paling penting iaitu dana. RM10 juta yang dilaburkan Yayasan Bank Rakyat adalah tidak lesap, tidak rugi walau 1 sen dan tidak disakau oleh sesiapa. Ini perkara sangat penting.

"Malah dana yayasan yang dilabur tersebut dapat keuntungan hibah sebanyak RM1.85 juta sepanjang tempoh pelaburan.

"Semua pihak persoal dan gambarkan seolah-olah RM10 juta telah lesap.

"RM10 juta tersebut tidak hilang, tidak rugi dan tidak lesap," katanya pada sidang media di sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Mubarak serta peguam mereka, Arif Azmi dan Johan Radzi.

Pada 1 Okt lalu, kedua-dua beradik itu direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung pelaburan YBR dalam sebuah syarikat pelaburan yang didakwa dimiliki Mubarak.

Agensi antirasuah itu turut menyerbu rumah mereka dan menyita 15 kereta mewah bernilai kira-kira RM31 juta serta 12 motosikal berkuasa tinggi bernilai kira-kira RM5 juta bagi membantu siasatan.

Media melaporkan Mubarak dibebaskan pada 5 Okt selepas tempoh remannya tamat, manakala reman Nazir dilanjutkan dua hari sehingga semalam.

Salah guna proses

Nazir berkata SPRM menuduhnya menyalahgunakan kedudukan dan kuasa sebagai pengerusi YBR untuk mengarahkan pelaburan dibuat dalam syarikat berkenaan, yang namanya tidak didedahkan.

Dia menafikan syarikat itu dimiliki Mubarak, sebaliknya berkata abangnya hanya melabur dalam syarikat yang sama beberapa bulan selepas YBR berbuat demikian.

"Apa yang rakan-rakan media dan rakyat perlu tahu, Yayasan Bank Rakyat sewaktu saya pengerusi, kita telah ambil semua langkah prroses good governance ketika dan sebelum buat pelaburan.

"Semua perkara yang penting tak ada salah laku, tak ada kecuaian. Pelaburan dibuat dengan cara yang betul dan punca kuasa yang betul," katanya.

Nazir berkata dia bersedia berdepan tindakan undang-undang sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.

Dia turut mendakwa SPRM menyalahgunakan kuasa dengan menyerbu rumah mereka dan melayan mereka "seperti penjenayah berat".

Menurutnya, pelaburan itu sebelum ini telah diteliti melalui audit dalaman selepas YBR menerima surat layang, sebelum disiasat SPRM pada 2022.

Nazir mendakwa kedua-dua siasatan itu mendapati tiada salah laku membabitkan yayasan tersebut atau dirinya.

"Dah ada semua documentation di tangan mereka. Tapi kenapa lepas 4 tahun datang berpasukan untuk buat isu kepada rakyat.

"Kalau tak ada (dokumen) bila-bila masa SPRM boleh ke pejabat yayasan. Jika wujud apa-apa keraguan boleh panggil saya bantu siasatan atau beri keterangan," katanya.

Nazir turut mempersoalkan keputusan SPRM menahannya selama tujuh hari, dengan mendakwa dia hanya disoal siasat mengenai kes YBR selama beberapa jam pada hari keempat.

Pada hari-hari lain, dia mendakwa pegawai penyiasat mengemukakan soalan yang dianggapnya "remeh", termasuk soalan berkaitan politik.

Bagaimanapun, dia enggan menghuraikan soalan yang dianggapnya remeh atau berunsur politik itu, termasuk sama ada ia berkaitan dengan penglibatannya dalam Umno.

Untuk rekod, Nazir ialah bekas anggota exco Pemuda Umno dan bekas ketua Pemuda Umno bahagian Titiwangsa. Dia dipecat daripada parti itu pada 2023.

Nazir turut mempersoalkan tindakan SPRM menyiarkan video dirinya dan Mubarak ketika proses reman dengan lagu tular "Penyamun" dimainkan di latar belakang.

Dia turut mempersoalkan tindakan SPRM menyiarkan video dirinya dan Mubarak ketika proses reman, dengan menggunakan audio daripada babak 40 penyamun dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P Ramlee.

"Ini SPRM atau J-Kom?" sindirnya, merujuk kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Nazir berkata tuduhan dan persepsi negatif terhadap dirinya dan Mubarak telah menjejaskan perniagaan mereka dan menegaskan peguam mereka sedang meneliti perkara itu.