Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekumpulan mahasiswa menghantar memorandum kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menuntut beliau campurtangan dengan menasihati kerajaan negeri Kedah agar lebih profesional dalam berdepan dengan aktivisme pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah.

Institut pengajian tinggi itu milik kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu yang diterajui Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Memorandum berhubung tindakan pentadbirannya KUIN memberi surat tunjuk sebab kepada enam pelajarnya yang didakwa terlibat dalam demonstrasi membantah kewujudan Sekolah Insan Bestari di kawasan Kolej Kediaman Ar-Razi.

Bercakap selepas menyerah memorandun itu di ibupejabat PAS pagi, wakil Majlis Perwakilan Pelajar KUIN Muhamad Aiman Che Abdul Razab berkata, mahasiswa terbabit didakwa mengganggu solat Jumaat ketika mengadakan demonstrasi tersebut, serta membuat kenyataan media mengenainya April lalu.

"Itu merupakan hak mahasiswa untuk bersuara. Kalau mereka dihalang untuk melakukan perkara ini, saya percaya ia akan memberi imej negatif terhadap kerajaan Pakatan sendiri.

"Kita (selama ini) menunggu kerajaan yang boleh memimpin mahasiswa dan boleh memberikan kebebasan untuk mahasiswa bersuara.

"Jadi tindakan seperti ini akan memberikan imej yang negatif kepada Pakatan Rakyat sekiranya tindakan tatatertib ini diteruskan," kata Muhamad Aiman, yang merupakan salah seorang daripada pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib itu.

Menurutnya lagi, lima pelajar lagi terdiri daripada tiga pelajar Kulliyah Tahfiz dan masing-masing seorang mahasiswa Kulliyah Syariah dan Kulliyah Usuluddin.

Sehubungan itu, Muhamad Aiman yang juga presiden Gerakan Mahasiswa KUIN menuntut supaya pertuduhan terhadap mereka digugur. Mereka menerima surat tunjuk sebab itu pada 4 Mei lalu dan diminta menjawabnya dalamm tempoh 14 hari.

Katanya, mereka menghantar memorandum kepada Abdul Hadi selepas gagal untuk menyelesaikannya dengan pihak KUIN dan kerajaan negeri.

"Sebaliknya terus mengeluarkan surat tunjuk sebab. Jika gagal, kami akan digantung selama satu semester," katanya yang juga pelajar tahun dua Fakulti Muamalat.

Muhamad Aiman mendakwa surat tunjuk sebab itu "melanggar statut" KUIN kerana telah terlepas pandang beberapa peraturan, termasuk membuat siasatan dan memanggil mereka memberi keterangan.

Sebelum itu, Muhamad Aiman menyerahkan memorandum tersebut kepada penolong setiausaha agung PAS, Ahmad Sabki Yusof di ibu pejabat parti itu di ibunegara.

Turut mengiringinya ialah pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Ab Razab dan yang dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Univerisiti Malaya, Mohd Syahid Mohd Zaini.

Muhamad Aiman memberitahu pemberita bahawa Ahmad Sabki yang juga naib ketua Pemuda PAS akan menyampaikan memorandum tersebut kepada pihak atasan untuk tindakan selanjutnya.

Memorandum itu juga akan diserahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk seri Anwar Ibrahim di ibupejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya, selepas solat Jumaat.

ADS