Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peluang Khairy reda isu tukar ketua Pemuda Sabah
Diterbitkan:  May 13, 2011 7:31 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Kehadiran Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada Program Jelajah One Malaysia di Pensiangan dekat Keningau pada 29 Mei ini dilihat sebagai peluang bagi beliau menjelaskan isu pertukaran ketua Pemuda Umno Sabah, Azman Roslan, yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati ahli pergerakan itu di kawasan pedalaman negeri itu.

    

NONE Ketua Pemuda Umno Tenom, Jamawi Jaafar, yang juga ahli exco Pemuda Umno pusat, berkata anggota pergerakan itu di kawasan pedalaman ingin tahu sebab Azman ditukar kerana mereka menganggap beliau sebagai pemimpin penting kepada masyarakat luar bandar.

    

"Inilah peluang bagi Khairy memberi penjelasan berhubung isu ini bagi meredakan keadaan," katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pensiangan di Keningau hari ini. Azman, yang juga Ketua Pemuda Umno Keningau, turut hadir.

Jamawi berkata Khairy telah memberi komitmen untuk menyertai program anjuran Pemuda Umno Pensiangan itu yang diadakan sempena sambutan Pesta Kaamatan peringkat mukim Sebrang dekat Keningau.

    

Beliau berkata pertukaran Azman itu memberi kejutan besar kepada Pemuda Umno di kawasan pedalaman terutama masyarakat Kadazandusun dan Murut memandangkan Azman merupakan orang pertama daripada kalangan masyarakat berkenaan yang memegang jawatan itu.

    

Sebelum ini, Penolong Setiausaha Pemuda Umno Datuk Megat Firdouz Megat Junid menjelaskan bahawa perubahan dalam kepimpinan Pemuda Umno Sabah adalah satu proses biasa yang juga berlaku di tiga negeri lain.

    

Azman digantikan oleh ketua Pemuda Umno Sandakan, Awang Kadim Tang.

- Bernama

ADS