Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Polis ada maklumat kes simbah asid
Diterbitkan:  May 20, 2011 5:52 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Polis mempunyai maklumat 'tertentu' berhubung kes simbah asid yang dilaporkan berlaku di sekitar Lembah Klang sejak Februari lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

NONE Tanpa mendedahkan maklumat tersebut, Ismail berkata, polis melaksanakan langkah proaktif membabitkan dua pendekatan iaitu terbuka dan pengoperasian polis bagi menjejaki suspek kes simbah asid.

Menerusi langkah terbuka, katanya, maklumat kepada orang awam khususnya kaum wanita disebarkan supaya berhati-hati selain daripada usaha polis meningkatkan 'kewujudan' iaitu menambah bilangan anggota polis untuk mengawal di tempat-tempat tertentu.

"Sejak ada langkah proaktif ini, tiada lagi kejadian (terbaru), ini maksudnya ada kesan di sebalik langkah-langkah tersebut, dan kita tidak akan berdiam diri dalam hal ini," katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Polis dilaporkan menerima 23 aduan membabitkan kes simbah asid setakat ini.

Ismail berkata, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin; Ketua Polis Kuala Lumpur yang kini Pengarah Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah serta Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah sudah berbincang bagi mengesan suspek yang melakukan kegiatan berbahaya itu.

Mengulas kes seorang peniaga Malaysia yang dilaporkan diculik oleh 10 lelaki bersenjata di Filipina pada 8 Mei lalu, Ismail berkata, polis sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa.

"Kita kini dalam usaha untuk menyelamatkan mangsa dan berharap semua orang yakin dan percaya kepada pihak polis untuk menjaga keselamatan semua yang menjadi mangsa," katanya.

Nazarudin Saidin, 38, dari Sungai Buluh, Selangor, dilaporkan diculik di Pulau Sulu di selatan Filipina pada 8 Mei lalu.

Ditanya sama ada PDRM bercadang menambah balai polis di kawasan tertentu, Ismail berkata, ia akan bergantung kepada keperluan dan keadaan serta populasi sesuatu tempat itu.

"Kalau ada keperluan kita akan bertindak kerana kewajipan kita untuk melihat semua orang selamat dan jika ada rancangan kita perlu bentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk sokongan bajet," katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, menyerahkan tugas Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) kepada Datuk Salleh Mat Rashid Salleh dan Timbalan Pengarah I Jabatan Logistik, Datuk Zubaidah Md Ismail kepada Datuk Zulkifli Abdullah sebagai Pengarah Logistik.

- Bernama

ADS