Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hina DUN S'gor': Mahkamah bebaskan peguam Umno
Diterbitkan:  May 31, 2011 5:01 PM
Dikemaskini: 9:07 AM

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan bahawa saman yang memerintahkan peguam Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun hadir pada perbicaraan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk menjawab tuduhan menghina Dewan adalah terbatal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk Zaleha Yusof juga memutuskan saman yang diterima Mohd Hafarizam pada 12 April lalu adalah ultra vires (melanggari batasan undang-undang) dan bercanggah dengan undang-undang.

perak state govt crisis 030309 hafarizam harun Beliau berkata Mohd Hafarizam hanya menjalankan tugasnya sebagai peguam apabila menghantar surat tuntutan terhadap firma guaman yang mewakili Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim dan surat tuntutan itu tidak dialamatkan kepada DUN Selangor.

"Adalah jelas bahawa cubaan yang didakwa itu tidak menjejaskan kuasa Dewan Undangan Negeri. Ia hanyalah surat tuntutan biasa antara dua peguam bela di bawah Aturan Profesion Perundangan (Amalan dan Etika) 1978 dan saya tidak nampak bagaimana ia menjejaskan kuasa dan hak Dewan Undangan Negeri.    

"Jadual dalam Perkara 77, Dewan Undangan Negeri Selangor hanya memberikan kuasa kepada Dewan untuk memerintahkan seseorang untuk hadir dan memberikan keterangan atau untuk mengemukakan dokumen kepadanya dan bukan untuk menjawab pertuduhan dan saman itu jelas mengandungi pertuduhan itu," katanya dalam penghakiman ringkasnya  yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Azmil Muntapha Abas.

Jumlah kos

Sehubungan itu, Zaleha membenarkan permohonan saman pemula yang difailkan Mohd Hafarizam, peguam yang mewakili Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pada 26 April lalu, untuk membatalkan saman JKHK.

Dalam saman itu, Mohd Hafarizam menamakan DUN Selangor sebagai responden pertama, Setiausaha JKHK Mohamad Yasid Bidin sebagai responden kedua dan JKHK sebagai responden ketiga.

Mahkamah bagaimanapun belum menetapkan jumlah kosnya dan menurut peguam Aisha Abdul Mubarak yang mewakili Mohd Hafarizam, pihaknya menawarkan jumlah kos sebanyak RM30,000.

Selain Aisha, Mohd Hafarizam turut diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid sementara peguam Morzawani Morni hadir bagi pihak defendan dan Muhammad Afiq Muhammad Noor bertindak sebagai peguam pemerhati Majlis Peguam Malaysia.

Mohd Hafarizam ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, melahirkan rasa bersyukur dengan keputusan mahkamah yang memihak kepadanya.

"Saya kesal dengan dakwaan bahawa saya ialah peguam Umno kerana saya hanya menjalankan tugas sebagai seorang peguam. Saya juga kesal dengan Majlis Peguam Malaysia yang hanya bertindak sebagai pemerhati dalam kes ini. Sehingga hari ini tiada tindakan diambil oleh mereka bagi membela nasib saya," katanya.

azlan Pada 1 April lalu, Badrul Hisham dan Mohd Hafarizam dirujuk ke JKHK atas tuduhan mereka secara berasingan atau bersama melakukan kesalahan menghina Dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lepas kepada Teng yang didakwa mengandungi bahasa yang amat tidak 'senonoh, biadap dan mengugut'.

JKHK bagaimanapun pada 29 April lepas memutuskan untuk membebaskan Badrul Hisham daripada tuduhan menghina DUN.

Pada 18 Feb lalu, Hakim Zaleha memerintahkan Teng untuk menjelaskan kos sebanyak RM40,000 kerana tindakannya mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.

Teng mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 16 Jan lalu dengan alasan Badrul Hisham gagal menghadiri persidangan DUN selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

- Bernama

ADS