Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas rombakan jawatankuasa pusat Ahad lalu, mata kini tertumpu kepada PAS Selangor yang akan membentuk 'kabinet' barunya tanpa tokoh kontroversi Datuk Dr Hasan Ali sebagai pesuruhjayanya.

Menurut Dr Abd Rani Osman yang baru dilantik ke jawatan itu, pemilihan jawatankuasa baru antara agenda penting yang akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama PAS Selangor sesi baru pada Isnin ini.

"Kita akan putuskan timbalan (pesuruhjaya) baru," katanya yang menyerahkan perkara itu bulat-bulat kepada mesyuarat untuk memutuskannya.

"Saya tidak mahu dictate (kuasai) mesyuarat."

NONE Selepas penyingkiran beberapa tokoh penting PAS negeri oleh Dr Hasan ( tengah ) pada November 2008, keputusan itu amat dinantikan.

Ia penting bagi melihat sama ada tindakan itu menguatkan rangkaian Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam hierarki negeri.

Menariknya, perwatakan Dr Abd Rani dilihat mirip kepada Mohamad yang dilihat sebagai tokoh "pendamai" antara dua kumpulan berbeza pendapat yang sering dirujuk sebagai Erdogan dan pro-ulama.

Khalid ke jawatan lama?

Bagaimanapun, tokoh sebegini dilihat didokong kuat kumpulan Erdogan yang mendorong kepada penguasaan besar dalam kepimpinan tertinggi parti itu dalam pemilihan parti awal bulan ini.

Lobi melobi dan cakap-cakap bagaimanapun sudah kedengaran sejurus selepas selesai muktamar ke-57 parti itu pada 6 Julai lalu.

NONE Walaupun gagal dipilih menggantikan Hasan, akar umbi PAS terus berdebar menunggu sama ada ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad ( bersongkok ) akan dibawa masuk kembali mengisi jawatan lamanya sebagai timbalah pesuruhjaya II.

Tiga timbalan pesuruhjaya PAS negeri sekarang adalah ahli akademik Dr Osman Sabran, exco kerajaan Selangor Iskandar Abdul Samad dan anggota parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat.

Walaupun tidak jelas kecenderungan mereka, Khalid sendiri pernah berpandangan ketiga-tiga pemimpin itu dilihat pasukan "serasi" kepada Dr Hasan.

Pada November 2008, Khalid dan ketua penerangan PAS Selangor ketika itu Saari Sungip dilucutkan jawatan oleh Dr Hasan yang difahamkan "kepanasan" dengan kritikan berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

Cabaran besar

Tempat Khalid digantikan Dr Che Rosli dan setiausaha akhbar presiden PAS ketika itu dan Roslan Shahir Mohd Sharir ( bawah, kanan ) pula menggantikan Saari.

roslan sms shahir mohd shahir Rombakan drastik tersebut dilihat sebagai usaha mengukuhkan kedudukan aliran pro-ulama yang mana Dr Hasan dilihat antara pemimpin pentingnya.

Menurut sumber-sumber PAS, kecuali jawatan setiausaha perhubungan negeri yang kini disandang Khairuddin Othman, hampir semua jawatan lantikan masih tidak jelas akan kekal atau tidak.

Khairuddin walaupun dilihat sealiran dengan Dr Hasan, beliau dikatakan tiada masalah untuk dikekalkan ekoran prestasi baiknya selama ini.

Bagaimanapun, menurut amalan biasa PAS, Dr Hasan berkemungkinan besar dilantik kembali dalam jawatankuasa negeri dan sekurang-kurangnya diberikan tugas sebagai anggota jawatankuasa.

Sementara itu, nama lain yang paling disebut-sebut layak dilantik sebagai timbalan pesuruhjaya adalah exco kerajaan negeri Dr Halimah Ali.

Jika terpilih, exco pendidikan negeri itu bakal menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini , Dr Abd Rani nampaknya sedar pada cabaran sebenar dihadapinya yang bukan semata-mata berdepan dengan Umno sebagai musuh politik mereka.

"Cabaran kita berdepan Umno dan BN memang besar, tetapi pada saya, cabaran lebih besar untuk satukan saf kita," kata Dr Abd Rani.

Walaupun enggan dilihat menyebelahi mana-mana pihak Dr Abd Rani difahamkan lebih senang bergandingan dengan Khalid dan Saari sebagai "orang yang bekerja".

Dr Abd Rani juga menghadapi tugas berat menukar imej PAS Selangor yang mencetuskan pelbagai kontroversi sebelum ini, antaranya dalam isu larangan penjualan arak di negeri itu.

ADS