Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abu Bakar Ba'asyir dihukum penjara 15 tahun
Diterbitkan:  Jun 16, 2011 4:34 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Tokoh ulama Indonesia Abu Bakar Ba'asyir hari ini dijatuhi hukuman 15 tahun penjara oleh Mahkamah Daerah Jakarta Selatan selepas didapati bersalah terlibat dalam latihan ketenteraan kumpulan pengganas di Aceh.    

NONE Pemimpin pergerakan Jamaah Anshorut Tauhid (JAT) itu disabit dengan kesalahan merancang dan menggerakkan latihan ketenteraan bersama Dulmatin alias Joko Pitono, yang ditembak mati oleh polis tahun lalu.

Beliau juga didapati bersalah mengumpul dana untuk membiayai latihan itu dan menghasut peserta supaya melakukan tindakan keganasan.

Hukuman ke atas beliau dibacakan ketua majlis hakim Herry Swantoro pada pukul 1.40 petang, setelah empat anggota hakim lain membacakan keputusan masing-masing secara berganti-ganti dalam masa hampir lima jam sejak pukul 9 pagi ini.

Hukuman itu lebih ringan berbanding tuntutan pihak pendakwa raya yang meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Ba'asyir.

Ketika diberi peluang untuk memberi pandangan terhadap keputusan itu, ulama berkenaan dengan tegas dan lantang menyatakan beliau menolak keputusan tersebut.

"Saya menolak kerana keputusan ini zalim, menyalahi syariat Islam. Haram bagi saya menerima hukuman ini," katanya.

NONE Terdahulu pasukan peguambela beliau memberitahu mahkamah bahawa mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Persidangan hari ini adalah yang ke-21 sejak beliau dihadapkan ke mahkamah pada pertengahan bulan Februari lalu, selepas ditangkap di sebuah kawasan di Ciamis, Jawa Barat pada 9 Ogos tahun lalu.

Beliau dituduh terlibat dalam penubuhan kem latihan ketenteraan jaringan pengganas Aceh di Pergunungan Jalin, Jantho, Aceh Besar serta merancang, menggerakkan, terlibat dalam pemuafakatan dan membiayai pelbagai kegiatan keganasan.

Beberapa tahun sebelum ini, Ba'asyir pernah dituduh terlibat dalam kejadian serangan bom di Bali dan kejadian serangan bom di hotel JW Marriott, Jakarta, tetapi tidak dapat dibuktikan bahawa beliau terlibat dalam kedua-dua kejadian itu.

indonesia australian embassy bombing 090904 chaos Pada persidangan keputusan hari ini, pihak polis mengetatkan kawalan keselamatan di sekitar bangunan mahkamah di Jalan Ampera Raya, Jakarta Selatan dengan menempatkan lebih 3,000 petugas termasuk anggota tentera  yang diminta membantu mengawal perhimpunan penyokong Ba'asyir yang berjumlah ratusan orang.

Hampir semua kedai di sekitar bangunan mahkamah itu ditutup bagi mengelak kejadian tidak diingini yang mungkin ditimbulkan para penyokong ulama itu.

- Bernama

ADS