BERSIH: Negara akan hilang RM1bilion, kata menteri

   

Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini bakal menyebabkan negara kehilangan lebih RM1 bilion daripada sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

ng yen yen pc 150611 facebook Beliau berkata, keadaan tidak menentu akibat perhimpunan itu boleh merencatkan kehadiran pelancong sekaligus mengurangkan jumlah pendapatan sepertimana yang dicatat pada tempoh sama tahun lepas iaitu RM6 bilion melalui perbelanjaan oleh 2.2 juta pelancong.

"Berdasarkan statistik, ketibaan pelancong antarabangsa pada bulan Julai 2010 adalah sebanyak 2.2 juta dengan perbelanjaan sebanyak RM6 bilion.

"Jika perhimpunan itu telah kurangkan 20 peratus daripada pendapatan tersebut, kita sudah kerugian RM1.2 bilion, yang mana ini akan dirasai oleh semua pihak dalam industri," katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama 16 pemimpin organisasi yang terlibat dalam industri pelancongan di Kuala Lumpur, semalam.

Ng berkata, sebagai industri yang bergerak berdasarkan situasi dan keadaan terkini sesebuah negara, perhimpunan itu bakal mengganggu pilihan pelancong yang berkemungkinan memilih untuk menghindari daripada memasuki Malaysia.

new year celebration klcc 1 Beliau berkata, kesan awal perhimpunan itu mula dirasai apabila kementerian dimaklumkan yang Persatuan Pelancongan Negara China telah berada di negara ini bagi berbincang dan mendapatkan perkembangan mutakhir perhimpunan haram itu sebelum membuat keputusan sama ada untuk membatalkan pakej-pakej percutian yang telah dibuat sebelum ini.

Katanya, perkembangan itu bakal memberi kesan negatif kepada mereka yang terlibat di dalam industri pelancongan berdasarkan perolehan hampir RM1 bilion negara yang dijana melalui perbelanjaan oleh pelancong negara itu tahun lalu.

Ng berkata, berikutan itu 16 pemimpin industri yang bertemu dengannya hari ini sebulat suara menentang sekeras-kerasnya perhimpunan  itu dan menyarankan pihak polis melakukan apa sahaja bagi menghalang demonstrasi itu.

NONE "Sebagai pemimpin industri pelancongan yang bertanggungjawab mereka perlu menyuarakan kekuatiran mereka dan menegaskan pendirian bahawa pihak polis perlu menghalang agar perhimpunan itu tidak berlaku,"katanya.

Dalam perkembangan lain Ng berkata, kementerian bersetuju menubuhkan pusat sehenti bagi merumuskan formula mengenai keperluan guna tenaga yang diperlukan di sektor pelancongan melibatkan hotel, spa, taman tema kelab golf yang mempunyai program pelancongan golf antarabangsa.

Beliau berkata, formula tersebut akan dijadikan panduan dalam menentukan jumlah sebenar pekerja asing yang diperlukan di dalam sektor itu selain mengkaji usaha untuk menggalakkan penglibatan pekerja tempatan dalam bidang berkenaan selaras mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda