Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam, peniaga didakwa milik baju-T BERSIH
Diterbitkan:  Jul 6, 2011 7:00 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Seorang peguam dan seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuantan atas pertuduhan memiliki baju T tertera tulisan 'Bersih 2.0 menuntut pilihan raya bersih dan adil', yang memaparkan kepentingan sebuah pertubuhan menyalahi undang-undang.

Mohd Fadzli Mohd Ramly, 33, yang juga timbalan pengarah PAS kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman, dan Abdul Manaf Md Hassan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu di Markas Pas Kampung Mentara, Rompin kira-kira 10.50 malam, 2 Julai lepas.

    

Mereka didakwa mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    

Hakim Noradidah Ahmad membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kalmizah Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Hon Kai Ping dan Hisham Ramzam.

- Bernama

ADS