Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS gesa JK p'raya dirombak, diperluas
Diterbitkan:  Aug 19, 2011 12:24 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

PAS menggesa keanggotan jawatankuasa pilihan khas parlimen bagi mengkaji reformasi pilihan raya diperluas kepada pelbagai pihak, bukan sahaja melibatkan anggota Dewan Rakyat.

NONE Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keanggotaan jawatankuasa baru mesti dianggotai 12 orang - dengan nisbah tiga anggota dari parti pemerintah, pembangkang (3), NGO (3), Suruhanjaya Pilihan Raya (1) dan Jabatan Pendaftaran Negara (1).

Manakala jawatan penggerusi hendaklah diberikan kepada seorang yang diyakini adil dan tegas dalam isu reformasi pilihan raya, seperti BERSIH 2.0 dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Keyakinan rakyat

“Jawatankuasa ini mestilah diberi tempoh segera, sekurang-kurangnya tiga ke enam bulan bagi menyiapkan cadangan untuk dibahas dan diluluskan di peringkat parlimen.

“Fokus utama jawatankuasa ini ialah mewujudkan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NONE Pada Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu akan dibentangkan dalam persidangan Parlimen Oktober ini.

Katanya, jemaah menteri juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan SPR dalam masa terdekat bagi membincang mengenai rangka kerja jawatankuasa itu yang akan diketuai oleh seorang menteri dan dianggotai sembilan wakil rakyat terdiri lima daripada parti kerajaan, tiga pembangkang dan satu bebas.

Bagaimanapun komposisi jawatankuasa itu dan rangka kerjanya itu dibidas pelbagai pihak, terutamanya Pakatan Rakyat yang tidak berpuas hati dengan syarat yang didakwa berat sebelah itu.

Menurut Tuan Ibrahim, perkara yang paling penting dalam penubuhan jawatankuasa khas itu adalah ia mestilah diyakini mampu membuat perubahan kepada sistem pilihanraya yang lebih bersih dan adil.

Tiada makna

“Sekiranya ia gagal meyakinkan masyarakat, maka tiada makna ditubuhkan jawatankuasa sedemikian...

azlan “Sebab itulah, satu perubahan terhadap penubuhan jawatankuasa khas parlimen ini harus dibuat agar semua pihak boleh berpuas hati dengan keputusan pencariannya nanti.

 

“Sehubungan dengan hasrat besar itu, di sini dicadangkan supaya jawatankuasa yang ditubuhkan ini bukanlah berbentuk jawatankuasa khas parlimen, kerana dalam bentuk ini, ia akan menyekat keanggotaan pihak lain, seperti BERSIH 2.0 dan rakyat biasa yang juga penting dalam proses pembaikan ini,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang, dicadangkan jawatankuasa ini dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Reformasi Pilihanraya bagi memberi ruang keanggotaannya lebih terbuka dengan penyertaan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan dalam sistem demokrasi berparlimen ini.

 

“Dengan melebarkan sayap jawatankuasa ini, maka keanggotaannya lebih terbuka  bukan hanya kepada parti- parti politik bahkan ianya boleh disertai bersama oleh badan-badan NGO, Majlis Peguam, dan beberapa individu yang mewakili rakyat biasa yang difikirkan sesuai dan layak,” katanya.

ADS