Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Umno Selangor mencabar setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa Umno terlibat dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas sebuah gereja pada awal bulan ini.

"Kita suruh dia buktikan. Buat apa cakap macam tong kosong saja," kata ketua penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berkenaan.

Ketika ditanya, Abdul Shukor berkata beliau "tidak hairan" dengan dakwaan PAS itu yang disifatkannya sebagai parti "hipokrit."

"Saya tidak hairan langsung kerana setiap kata-kata daripada PAS dan kuncu mereka ini, apa juga perkara yang boleh selamatkan mereka, mereka akan tujukan kepada Umno dan BN," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Abdul Shukor yang juga ADUN Kuang turut mendakwa, PAS tidak mempunyai nawaitu untuk memperjuangkan Islam, tetapi hanya ingin "beraya dengan kuasa yang dia ada."

"Mereka begitu seronok dan begitu gembira hingga lupa dengan perjuangan asal. Bila berlaku kes (serbuan JAIS) seperti ini, ternyata mereka langsung tidak peka.

"Boleh pula mereka bersama-sama menentang JAIS, minta JAIS buat laporan dan sebagainya.

"Inilah rupa bentuk sebenar orang PAS, rajin berkhutbah tapi tidak peka dengan (dakwaan) orang Islam nak dimurtadkan," katanya lagi, merujuk kepada kes serbuan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) itu lagi.

Tindakan JAIS menyerbu gereja berkenaan pada 3 Ogos lalu menimbulkan kontroversi apabila banyak pihak membantah kaedah dan tujuan operasi itu dijalankan.

Laporan terperinci daripada JAIS, yang ditunggu ramai pihak, kemudiannya dilaporkan muncul di laman blog pro Umno sejak beberapa hari lalu selepas rakaman video berhubung serbuan itu juga tersebar di laman sama.

Perkembangan berkenaan, antara lainnya, menguatkan syak daripada PAS berhubung dakwaan elemen campurtangan Umno dalam operasi berkenaan.

 

ADS