Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tanding tiket PCM, Umno gugur keahlian Datin Juliana
Diterbitkan:  Aug 19, 2011 8:14 PM
Dikemaskini: 12:14 PM

Umno hari ini menggugurkan keahlian Datin Juliana Awang Tambi yang bertanding atas tiket Parti Cinta Malaysia (PCM) dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April lepas, berkuatkuasa serta-merta.

    

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno berkata penguguran itu dibuat berdasarkan fasal 20.1 perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana ahli Umno yang bertanding di dalam pilihan raya sebagai calon bebas atau parti lawan akan digugurkan keahliannya dan tidak boleh diterima sebagai ahli selama-lamanya.

    

"Jadi berdasarkan peruntukan ini maka keahliannya digugur serta-merta," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara hari ini.

    

Juliana yang merupakan ahli Umno bahagian Selayang kalah dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bekenu dalam pilihan raya negeri Sarawak dengan hanya memperoleh 284 undi.

    

Sementara itu, Najib memaklumkan sehingga kini, terdapat seramai 3,270,444 ahli Umno seluruh negara dengan negeri Sabah, Johor dan Selangor mendahului jumlah tertinggi ahli di antara negeri-negeri yang lain.

    

"Sabah 483,013, Johor, 450,004, Selangor 428,525, itu top three," katanya.

Selain itu, beliau juga turut mengumumkan penganjuran forum antarabangsa yang akan diadakan sekali lagi semasa Perhimpunan Agung Umno tahun ini dengan penyertaan lebih banyak peserta dari parti-parti luar negara.

    

"Majlis Tertinggi mengambil keputusan bahawa  peserta yang dijemput dari parti-parti luar hendaklah dipelbagaikan untuk meliputi parti-parti yang berkuasa ataupun parti-parti yang mempunyai kedudukan di negara-negara tertentu.

"Jadi kita akan menjemput antaranya  parti-parti politik di United Kingdom, Australia, Maldives, Madagascar, Amerika, Kesatuan Eropah dan juga ahli-ahli jawatankuasa bertindak ICAPP (Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia)dan ahli-ahli jawatankuasa COPAL iaitu Political Party of America and Caribbean,"katanya.

    

Beliau berkata penyertaan yang lebih menyeluruh pada kali ini diharapkan agar lebih memberi pemahaman kepada mereka mengenai hala tuju dan dasar-dasar yang diperjuangkan oleh Umno.

- Bernama

ADS