Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibu tunggal 5 anak tunggu jawapan bantuan JKM
Diterbitkan:  Aug 21, 2011 2:44 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Seorang ibu tunggal dari Kampung Paya Kerchut, Batu 10, di Jitra, Kedah berhadapan dengan kesukaran dalam hidupnya apabila terpaksa menanggung kehidupan lima anaknya, yang semuanya masih bersekolah.

    

Azimah Ali, 39, menjadi ibu tunggal selepas bercerai lima bulan lalu, menyara kehidupannya dan lima anak terdiri empat perempuan dan seorang lelaki yang berusia antara lima hingga 13 tahun, dengan membuat kuih dan dihantar ke kedai-kedai makan untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM400 sebulan.

    

"Saya ada memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Mei lepas tetapi sehingga kini masih tiada jawapan. Saya berharap JKM dapat mempercepatkan proses permohonan saya," katanya ketika dikunjungi ahli parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharom, yang turut bersahur bersama keluarga itu awal pagi ini.

    

Azimah berkata dia dan lima anaknya itu tinggal di rumah arwah ibunya bersama seorang kakaknya Azizah, 43, yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah berhampiran.

    

Katanya kakaknya yang tidak berkahwin itu turut membantu menanggung perbelanjaan anak-anaknya manakala bekas suaminya hanya membantu sekali-sekala.

Anak sulung Azimah, Wildayanti Mohd Rais, 13, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Darul Aman manakala Wilmayani, 12; Mimi Wahida, 11; dan Amylia Suhaida, 9, belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Darul Aman sementara anak bongsunya Fitri Haikal, 5, belajar di sekolah tadika.

    

Azimah berkata rumah yang didudukinya itu sudah uzur dan banyak bahagian bumbung yang bocor dan jika hujan, bahagian rumah tamu akan dipenuhi air.

    

Mohd Johari berkata pihaknya meluluskan bantuan awal RM10,000 untuk kerja-kerja membaiki rumah itu dan berharap ia dapat dijalankan segera.

Beliua juga akan berusaha mendapatkan bantuan persekolahan untuk anak-anak Azimah bagi memastikan mereka dapat belajar dengan sempurna dan keperluan lain untuk meringankan beban keluarga itu.

    

"Kami akan uruskan bantuan dengan JKM. Kami juga akan cuba dapatkan bantuan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu program membasmi kemiskinan di bandar memandangkan Jitra adalah kawasan bandar. Tengok sama ada skim itu boleh digunakan atau tidak. Bantuan itu lebih banyak," katanya yang turut memberikan sumbangan barangan keperluan dan hari raya kepada keluarga itu.

Mohd Johari, yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani berkata kementeriannya akan menyediakan mesin asas tani bagi membantu Azimah membuat kuih.

    

Azimah berkata dia terharu dengan bantuan yang diberikan Mohd Johari bagi meringankan beban kehidupannya.

    

Bantuan kepada Azimah dan keluarganya boleh dibuat dengan menghubunginya di talian 012-5290118 atau memasukkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional di atas nama Azizah Ali (02100-29-86167187-2).

- Bernama

ADS