Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN: Rakyat Kedah sudah tak tahan dengan k'jaan PAS
Diterbitkan:  Aug 22, 2011 1:13 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Bantahan daripada kumpulan yang menuntut hak serta janji-janji kerajaan negeri menunjukkan rakyat kini sudah tidak tahan dengan pemerintahan kerajaan PAS di Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, apabila kerajaan negeri menabur janji, rakyat akan berharap dan ia harus ditunaikan.

"Hari ini rakyat dah mula tak tahan dan ini menunjukkan kerajaan negeri telah gagal untuk membela nasib rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) kepada 60 penerima di dewan Taman Wira Blok D, di Alor Setar hari ini.

Beliau mengulas laporan Bernama semalam mengenai kekecewaan lebih 10,000 pemilik dusun buah-buahan di Padang Terap yang mendakwa kerajaan negeri gagal menunaikan janji bagi memungut hasil tanaman mereka untuk diproses di Pusat Pengumpulan Produk Pertanian di Sungai Petani.        

Pada program Mesra Rakyat di Pekan Naka dekat Alor Setar Julai lalu, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan berjanji bahawa kerajaan negeri akan memungut buah-buahan tempatan seperti rambutan untuk ditinkan sebelum dipasarkan.

"Apa yang kerajaan negeri janji, kena buat sebab kalau kita (BN) buat janji macam tu, kita akan buat contohnya kumpul buah-buahan itu melalui Fama.

"Dia (Menteri Besar) mesti buat sesuatu yang meyakinkan rakyat dan penuhi janji, bukan satu aspek seperti pertanian ini saja, tapi juga pembangunan yang lain," katanya.

- Bernama

ADS