Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mempertahankan dakwaannya Umno mendalangi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu.

Malah, tegasnya, beliau tidak akan memohon maaf secara terbuka seperti yang dituntut Umno Selangor pada 16 Ogos lalu.

pas muktamar 130610 mustafa ali "Saya berpegang kepada kenyataan saya, tidak akan minta maaf," kata Mustafa dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini .

Beliau diminta mengulas kenyataan setiausaha badan perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed hari ini bahawa pihaknya akan memulakan proses saman fitnah RM10 juta terhadap setiausaha agung PAS itu.

Mohd Zin dilaporkan berkata pihaknya akan berbuat demikian ekoran keengganan Mustafa untuk memohon maaf secara terbuka seperti yang dituntut Umno Selangor itu.

Umno Selangor, katanya, melantik Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak untuk menjalankan proses perundangan itu yang disifatkan "adalah yang terbaik untuk mempertahankan maruah Umno Selangor".

Peguam Abu Bakar Isa Ramat berkata notis peguam akan dihantar kepada pihak berkenaan dalam masa terdekat dan saman akan difailkan selepas tempoh tujuh hari bekerja di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mohd Zin berkata selain Mustafa, pihaknya dan peguam yang dilantik juga sedang meneliti untuk menamakan beberapa pihak lain dalam notis saman itu nanti.

Pada 15 Ogos lalu, Harakah melaporkan Mustafa menyeru pemimpin dan anggota PAS supaya tidak terjebak dalam 'perangkap' Umno dalam isu JAIS dan gereja.

Beliau mendakwa mendapat maklumat 'dalaman' JAIS bahawa Umno ada peranan dalam operasi JAIS di Gereja Methodist, Damansara Utama, Petaling Jaya pada 3 Ogos lepas.

ADS