Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno S'gor: Pakatan takut hilang sokongan Kristian

Ketua penerangan Umno negeri, Abdul Shukor Idrus berkata, penubuhan majlis syura yang diumumkan kerajaan negeri semalam menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat bimbang akan kehilangan sokongan daripada masyarakat Kristian.

Tindakan itu juga menunjukkan kerajaan Pakatan "lebih takut kepada hukum orang daripada hukum tuhan," kata Abdul Shukor lagi.

NONE Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan negeri mengumumkan penubuhan majlis syura itu.

Majlis syura itu ditubuhkan bagi menyelesaikan kemelut yang timbul ekoran serbuan ke atas gereja Damansara Utama Methodist Church pada awal bulan ini.

Penubuhan majlis syura itu bagaimanapun tidak lebih daripada satu "lakonan untuk mengaburi mata rakyat," kata ADUN Kuang itu lagi.

Tambahnya, kerajaan negeri juga tidak berani mengakui bahawa isu yang timbul daripada serbuan Jabatan Agama Islam Selangor itu adalah berhubung isu "orang Islam hendak dimurtadkan."

"Apa yang berlaku baru-baru ini pun mereka tidak mahu mengaku – ini sebenarnya isu orang Kristian nak murtadkan orang islam – kerana ini hanya satu lakonan.

"Sebabnya, mereka lebih takut hilang sokongan daripada orang Kristian daripada takut kepada hukum Allah," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ketika ditanya, Abdul Shukor berkata kerajaan tidak sepatutnya meneruskan "lakonan" itu dengan mengadakan majlis syura yang akan dianggotai menteri besar, mufti serta timbalan mufti.

Sebaliknya, kerajaan Pakatan Selangor perlu bertindak mengikut undang-undang yang diperuntukkan dalam perlembagaan, katanya.

"Kena ikut undang-undang persekutuan, mengapa kita hendak lindung sana lindung sini? Ikutlah hukum kita," katanya lagi.

Ditanya apakah tindakan yang akan diambil BN sekiranya parti itu berkuasa dalam pentadbiran pada masa ini, Abdul Shukor sekadar berkata: "Bagi kita kuasa dulu, kita tahulah hendak buat apa. Kalau mereka tidak tahu nak (uruskan), buat pilihan rayalah."

NONE Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim semalam dilaporkan berkata, idea berhubung penubuhan majlis syura itu sendiri telah dicadangkan oleh Sultan Selangor dalam perbincangan yang diadakan pada minggu lalu.

Majlis syura berkenaan akan mengkaji isu yang dibimbangi golongan Islam dan bukan Islam di negeri itu dan ia juga juga akan mengeluarkan garis panduan untuk memastikan keharmonian antara kaum dan agama terpelihara, menurutnya lagi.

Penubuhan majlis berkenaan diumumkan semalam selepas pemimpin Pakatan Selangor terus dihujani kritikan sejak isu berkenaan meletus pada awal bulan ini.

Pemimpin Pakatan, terutamanya PAS, mengesyaki Umno terlibat dalam isu berkenaan, lebih-lebih lagi apabila laporan awal siasatan serta rakaman serbuan JAIS itu mula dibocorkan di laman web pro-Umno.

Difahamkan, siasatan JAIS itu adalah berhubung dakwaan kemasukan orang Islam ke agama Kristian.

ADS