'Pendengaran isu JAIS-DUMC berjalan baik'

Sesi pendengaran sulung gerak kerja pendengaran bagi menyelesaikan isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) selesai jam 4.00 petang.

Dua pihak yang diminta memberi penjelasan - penganjur program Harapan Komuniti dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) - bertemu dengan gerak kerja berkenaan yang diketuai Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Beliau dibantu oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, dan timbalannya,  Datuk Abdul Majid Omar.

Pertemuan secara berasingan itu bagi mendengar penjelasan kedua-dua pihak berhubung kehadiran umat Islam dan dakwaan terdapat usaha menyebarkan Kristian kepada umat Islam di DUMC 3 Ogos lalu.

Gerak kerja tersebut akan menyediakan laporan untuk dipersembahkan kepada Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pertemuan JAIS dengan gerak kerja itu berlangsung selama setengah jam bermula jam 2.30 petang.

JAIS yang diwakili pengarahnya Marzuki Hussein memberi penjelasan kepada gerak kerja pendengaran itu di tingkat 22 Bangunan SUK Selangor.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Marzuki enggan mengulas mengenai butiran perjumpaan itu.

"Tidak ada komen," katanya sambil tersenyum.

Malah, beliau berdiam diri dan terus tersenyum ketika diminta menjawab mengenai bilakah laporan JAIS akan diumumkan.

Mereka juga menjadi tumpuan lensa kamera ketika keluar untuk beredar sebaaik sahaja keluar daripada bilik mesyuarat.

Lebih 30 wartawan dan jurugambar mengerumuni bagi mendapatkan komennya.

Sementara Harapan Komuniti diwakili enam orang dengan dua daripadanya antara 12 orang yang diminta membantu siasatan.

Peguam Datuk Kenny Ng Bee Ken dan Annou Xavier turut mengiringi wakil kumpulan itu.

Ketika ditemui pemberita selepas selepas pertemuan itu, Kenny menyifatkan pertemuan tersebut satu "mesyuarat yang baik".

"Kami berharap sangat (gerak kerja ada) pertimbangan, niat dan harapan yang baik," katanya, sambil tersenyum.

Ditanya sama ada pihaknya akan dipanggil semula, Kenny berkata beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut dan akan memaklum kepada media sekiranya ada pertemuan selanjutnya.

"Kami (akan) bekerjasama (dengan gerak kerja pendengaran)," katanya.

Pertemuan itu berlangsung selama satu jam, bermula jam 3.00 petang.

Sementara itu, tidak ada sidang media diadakan oleh pejabat menteri besar selepas pertemuan tersebut.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.