Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Mat Sabu khianati pejuang bangsa, negara
Diterbitkan:  Aug 28, 2011 9:10 AM
Dikemaskini: Aug 29, 2011 1:40 AM

Kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

muhyiddin yasin "Saya amat kesal dengan kenyataan Mohamad Sabu itu bahawa pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu didakwa membuat kenyataan itu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Muhyiddin berkata pemimpin PAS itu turut membuat kenyataan biadab dengan mendakwa Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan.

"Beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan. Kenyataan seperti itu adalah manifestasi kealpaan Mohamad Sabu terhadap sumbangan besar pemimpin Melayu terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air," katanya.

Muhyiddin menegaskan Mohamad wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membuat kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab itu.

malayan union billboard "Beliau (Mohamad Sabu) lupa bahawa hasil perjuangan mereka (pemimpin Melayu), bangsa Melayu telah mendapat suntikan semangat dan kesedaran politik luar biasa untuk bangkit menentang penjajah Inggeris dan Malayan Union.

"Hasil sumbangan tokoh-tokoh besar pemimpin Melayu inilah, bangsa Melayu bangkit bersatu melalui persatuan-persatuan Melayu, yang kemudiannya melahirkan wadah Umno untuk memperjuangkan kemerdekaan negara serta mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam," kata Muhyiddin.

Beliau berkata hasil perjuangan suci barisan pemimpin Melayu berkenaan, negara bukan sahaja mencapai kemerdekaan, malah kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak yang sah bagi kaum lain telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

majlis raja raja rulers council 300609 Katanya perkara asas ini yang menjadi teras pembentukan negara Malaysia yang merdeka, telah terpahat dalam perlembagaan dan terpelihara sehingga ke hari ini.

"Hakikatnya, penyatuan bangsa Melayu dan persefahaman murni dengan kaum-kaum lain yang dipelopori oleh pemimpin kita terdahulu telah membolehkan negara kita mencapai kemerdekaan dalam masa yang singkat tanpa pertumpahan darah.

"Hakikat sejarah ini tidak boleh dipadamkan atau ditulis semula oleh sesiapapun," tegas Muhyiddin.

NONE Muhyiddin menyifatkan Mohamad sebagai buta sejarah apabila beliau sanggup bersubahat dengan orang zalim dan pembunuh dengan mengagungkan komunis.

"Perjuangan komunis bukanlah untuk membebaskan rakyat daripada belenggu penjajahan. Sebaliknya, mereka hanya berminat untuk membentuk sebuah negara komunis dengan pemerintahan kuku besi," jelas beliau.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang mengingati dan memahami sejarah tentunya tidak lupa tentang keganasan komunis yang telah mencetuskan rusuhan, pembunuhan orang awam yang tidak berdosa dan perbalahan kaum sejurus selepas tentera Jepun menyerah kalah.

"Jika dilihat sejarah hitam kekejaman pemerintahan rejim komunis di beberapa buah negara di rantau ini sewaktu negara kita bergelut menentang kegiatan subversif Parti Komunis Malaya, kita pastinya bersyukur kerana rakyat berbilang kaum di negara kita telah memilih untuk tidak menyokong perjuangan komunis," katanya.

NONE Sementara itu, Ketua Pemuda BN Parlimen Pagoh, Ismail Mohamed semalam membuat satu laporan polis di Balai Polis Pagoh, Muar, Johor berhubung kenyataan Mohamad itu.

Dalam laporan itu, Ismail berkata kenyataan Mohamad itu menunjukkan beliau tidak sensitif dan ketandusan idea demi kesinambungan politik murahan pakatan pembangkang sehingga menidakkan kebenaran.

Pemimpin PAS itu didakwa menyifatkan Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis, adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis Bukit Kepong.

- Bernama

ADS