Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Pecat mereka yang siar laporan 'murtad' di RTM1
Diterbitkan:  Aug 28, 2011 6:05 PM
Dikemaskini: Aug 29, 2011 1:55 PM

DAP mengecam satu laporan RTM1 yang mengaitkan pemimpin pembangkang dengan kumpulan Facebook "Murtad di Malaysia & Singapura".

NONE Ia disiarkan dalam berita perdana di RTM1 jam 8 malam tadi.

Setiausaha publisiti kebangsaan DAP, Tony Pua berkata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Rais Yatim mesti bertanggungjawab terhadap apa yang didakwanya "laporan paling keji" dan mahu mereka yang bertanggungjawb dipecat serta-merta.

RTM1 telah menekankan dakwaan kaitan pemimpin DAP seperti Tan Kok Wai, Charles Santiago, Boo Cheng Hau, Ean Yong Hian Wah dengan kumpulan tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pua menganggapnya sebagai "keji dan menjijikkan".

NONE Malah, kata ahli parlimen PJ Utara itu, RTM1 meletakkan

tumpuan kepada pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim, seolah-olah beliau mengkhianati agamanya sendiri.

Pua berkata, laporan tersebut jelas untuk membakar sentimen dan kemarahan di kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini, terutama terhadap Pakatan Rakyat, dengan "mengaitkan" pemimpinnya sebagai sebahagian daripada kumpulan tersebut.

“Berita (palsu) itu sudah tentu disebarkan untuk mengapi-apikan sentiment dan kemarahan orang Melayu dan Islam di negara ini, terutamanya terhadap Pakatan Rakyat, yang mana naman-nama pemimpin mereka telah ‘dijumpai’ kononnya menjadi sebahagian daripada kumpulan Facebook itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pua menjelaskan, amat jelas sekali penyiaran berita palsu yang berniat menghasut itu oleh media milik kerajaan dan Umno adalah sebahagian daripada kerja terkutuk yang terancang untuk memecahkan perpaduan rakyat bagi mengekalkan kuasa BN pada  pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, keadaan pentadbiran Najib yang amat terdesak kerana semakin kehilangan sokongan rakyat, termasuk sokongan orang Melayu sendiri, telah memaksanya untuk berbuat apa sahaja termasuk perbuatan keji seperti menyiarkan berita palsu dan menabur fitnah.

Malah, tambah beliau, demi kuasa, BN sanggup menggunakan sentimen agama yang boleh menghancurkan negara ini.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, RTM1, sama ada benar-benar jahil atau sengaja tidak mahu tahu fungsi Facebook, bahawa tiada siapa yang dapat menyekat pentadbir mana-mana laman Facebook untuk memasukkan sesiapa sahaja (add to group) dalam kumpulan Facebook tersebut.

Tambahnya, tidak ada syarat yang memerlukan kebenaran sesiapa sahaja yang mempunyai laman Facebook untuk dimasukkan (add) dalam mana-mana kumpulan Facebook.

“Dengan itu, mereka yang dituduh menjadi penyokong laman Facebook tersebut sebenarnya tidak sedar atau tahu nama mereka berada dalam kumpulan tersebut. RTM1 telah melanggar etika dalam laporannya kerana tidak mengesahkan berita dengan mereka yang terlibat.

“Sedangkan (RTM1) tahu bahawa kebanyakan pemimpin Pakatan Rakyat amat mudah untuk dihubungi,” ujarnya.

Pua berkata RTM1 patut dikenakan tindakan kerana mencipta dan menyebarkan berita palsu untuk menghasut kebencian di kalangan rakyat jelata.

jalan klang lama tuition centre tv3 report 3 Beliau menambah bahawa tindakan RTM1 menyiarkan berita palsu sama seperti TV3 yang menyiarkan berita palsu pada 21 Ogos lalu yang mendakwa kononnya wujud usaha memurtadkan orang Islam oleh sebuah pusat tuisyen di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur setelah mendapat aduan daripada “Surau Al-Musyrikin” yang tidak pernah wujud sama sekali.

Jelasnya, semua perbuatan jahat itu telah dirancang dengan rapi tanpa mempedulikan kesannya kepada keharmonian dan perpaduan kaum serta agama di negara ini.

[Baca berita penuh]

ADS