Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Samun: Isteri disimbah asid, suami dicampak tepi jalan
Diterbitkan:  Aug 28, 2011 6:34 PM
Dikemaskini: Aug 29, 2011 1:39 AM

Seorang wanita melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian muka, leher, mata dan dada akibat disimbah asid oleh dua lelaki dalam kejadian samun di Guar Chempedak dekat Yan malam tadi.

    

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila kereta Proton Waja yang dinaiki Rosnani Husin, 53, bersama suaminya dipercayai ditahan oleh dua lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut dekat Alor Setar.

    

Katanya dua lelaki terbabit berpura-pura mahu menumpang kereta mangsa disebabkan kereta mereka kehabisan minyak dan suami mangsa bersetuju menumpangkan kedua-dua suspek menuju ke Jalan Baru melalui Jalan Permatang Buluh, Kota Sarang Semut.

    

"Ketika dalam perjalanan suspek, dikatakan mengacu pisau kepada kedua-dua mangsa dan mengikat kaki dan tangan suami mangsa sebelum mencampakkannya di tepi jalan di Jalan Baru, Bukit Besar.

    

"Kira-kira 50 kilometer dari tempat suami mangsa dicampak, suspek memberhentikan kereta (berdekatan Guar Chempedak) lalu menyimbah asid ke muka mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Suami mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan kaki dan tangan berikat manakala mangsa dan kereta yang ditinggalkan ditemui Polis Guar Chempedak.

Jumlah kerugian yang dialami pasangan suami isteri tersebut belum dikenal pasti.

    

Adzaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan mendatangkan kecederaan.

    

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menerima rawatan.

    

Pengarah HSB Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata mangsa dirawat di Unit Rawatan Kebakaran dan dalam keadaan stabil.

    

Mangsa terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan kerana menghadapi masalah paru-paru disebabkan terhidu asid yang terkena padanya.

    

Suami mangsa ketika ditemui pemberita di HSB enggan ditemuramah kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa isterinya itu.

    

- Bernama

ADS