Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM dijangka umum perubahan penting esok
Diterbitkan:  Sep 14, 2011 7:22 PM
Dikemaskini: Sep 15, 2011 12:20 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat pengumuman mengenai beberapa perubahan penting ketika

buat julung kalinya menyampaikan amanat sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia di hadapan para penonton di Auditorium Perdana, Angkasapuri malam esok.

    

najib tun razak press conference Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ucapan Perdana Menteri juga akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan TVi pada pukul 8.45 malam.

    

"Perdana menteri akan berucap di hadapan kira-kira 800 hadirin yang terdiri daripada menteri-menteri kabinet, para pegawai tertinggi kerajaan, anggota parti komponen Barisan Nasional dan badan bukan kerajaan.

    

"Pada saat itu beliau (Najib) dijangka menekankan perkara-perkara utama pentingnya perubahan besar yang beliau fikirkan wajar bagi kerajaan dan negara kita," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-kabinet bagi kementeriannya di Wisma TV, Angkasapuri di Kuala Lumpur hari ini.

    

Sehubungan itu, Rais berharap seluruh lapisan masyarakat termasuk di Sabah dan Sarawak menyaksikan ucapan pemimpin tertinggi negara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini berikutan Hari Malaysia disambut serentak dengan Hari Kemerdekaan ke-54.

    

Beliau berkata reaksi dari barisan pemimpin negeri termasuk di Sabah dan Sarawak dijangka turut disiarkan secara langsung sejurus selepas ucapan Najib.

    

"Kita sedang mengatur agar studio-studio di Sabah dan Sarawak bersiap sedia agar secara spontan membuka saluran agar dapat menerima siaran secara jelas dan berkemungkinan ketua-ketua menteri memberi penjelasan selepas ucapan itu dan di

Semenanjung Malaysia, kita sedang mengatur reaksi turutan sekuel selepas ucapan itu," katanya.

    

Dalam pada itu, Rais yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan, berkata pihaknya juga sedang berbincang dengan saluran televisyen lain seperti Media Prima Berhad untuk menyiarkan ucapan itu agar semua lapisan masyarakat mendengar amanat berkenaan.

    

"Saya yakin penyampaian ini sekaligus (membolehkan) rakyat Malaysia terutama rakan-rakan di Sabah dan Sarawak berpeluang mendengar (ucapan) dari dekat dan secara intim penyampaian tersebut," katanya.

    

Sambutan kemerdekaan negara akan disambut serentak dengan Hari Malaysia pada Jumaat ini dengan bertemakan '1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera'.

- Bernama

ADS