Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Serbuan gereja: Siasatan selesai, tiada dakwaan lagi

Keputusan sama ada untuk mendakwa 12 umat Islam yang dikesan sewaktu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di premis Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu dijangka diketahui Isnin depan.

NONE Menurut Pengarah JAIS Marzuki Hussein, perkara tersebut  sedang  dirujuk oleh penasihat undang-undang JAIS.

"Laporan (lengkap) kita sudah siap, tunggu dipanggil YAB Menteri Besar selepas beliau balik dari Jerman," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini dalam rangka lawatan kerja bertemu pelabur di Jerman dan dijadualkan pulang esok.

Sebelum ini, JAIS meminta tempoh sebulan untuk menyiasat kerana mendakwa tidak mendapat kerjasama daripada saksi kes berkenaan.

Sementara itu, ketua penguatkuasa JAIS Mohd Rais Rasid ketika dihubungi Malaysiakini berkata sebutan kes tersebut adalah pada 19 Oktober depan.

"Kalau tak ada (pendakwaan), kita tangguh untuk buat siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat sembilan lagi individu yang terlibat sewaktu pemeriksaan tersebut.

Pihaknya juga belum lagi menghantar laporan tersebut kepada pihak pendakwaan, katanya.

NONE Pada 3 Ogos lalu, JAIS memeriksa premis milik sebuah gereja di Damansara Utama tanpa sebarang waran selepas mendapat maklumat ada usaha cuba memurtadkan umat Islam di negeri itu.

Tindakan itu menimbulkan bidasan di pelbagai pihak yang menentang mahupun menyokongnya.

JAIS sebelum ini menafikan tindakannya itu sebagai satu serbuan dan berkata ia hanya satu 'pemeriksaan' selepas mendapat maklumat bahawa terdapat kehadiran umat Islam pada majlis 'buka puasa' yang dianjurkan itu.

Siasatan dibuat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Mengenai kebocoran laporan awal siasatan JAIS berhubung isu tersebut dalam sebuah blog, Marzuki berkata "ia tidak sama" seperti laporan JAIS kepada MB.

“Kita pertahankan maklumat kita. Tapi yang terkeluar (dalam blog) ia di luar kemampuan JAIS," katanya.

Ditanya sama ada laporan dalam blog dengan laporan JAIS adalah sama, Marzuki menjawab:

"Tidak sama. Mungkin ambil 'gist' atau (dari sumber) yang lain... Mungkin diambil daripada kenyataan awal bersama exco kerajaan negeri Selangor Datuk Hassan Ali di-duplicate, (saya) tak tahulah," katanya.

Marzuki juga menafikan kakitangan JAIS terlibat dengan membocorkan laporan awal itu jika benar ia berlaku.

ADS