Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi berkaitan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa lagi pemansuhan akta-akta yang lain, saya menyambut baik cadangan beliau dan mengucapkan tahniah.

Saya juga mengucapkan syabas kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah berjuang berhabis-habisan selama ini terhadap perkara yang sama. Pemansuhan ini membuktikan dua perkara:

1. Najib dan seluruh jentera kerajan akur kepada kehendak dan tuntutan rakyat yang sekian lama telah dinafikan perjuangan mereka khususnya berkaitan pemansuhan ISA yang zalim. Keputusan pemansuhan ini pada saya adalah kemenangan rakyat.

2. Najib akhirnya akur bahawa ISA (khususnya) sememangnya akta yang di luar daripada kemanusiaan dan sangat bercanggah dengan hak asasi manusia yang selama ini digunakan oleh kerajaan sedia ada (Umno/BN) ke atas rakyat selama lebih 50 tahun.

Saya juga mengucapkan penghargaan kepada PM – Najib - atas pengumuman ini kerana beliau berani mengeluarkan satu keputusan yang saya sifatkan sebagai ‘radikal’.

Sebagai contoh, setelah lebih 50 tahun Umno/BN menjadikan ISA sebagai alat bagi mempertahankan kekuasaan, namun beliau (Najib) – disaat Umno/BN kehilangan majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen, di saat rakyat sudah mula terdedah dengan maklumat alternatif melalui media baru seperti Facebook dan Twitter – sanggup mengambil langkah agresif dengan ‘merobohkan’ perisai yang mereka gunakan selama ini (ISA dan akta-akta berkaitan saya anggap sebagai perisai Umno/BN bagi tujuan menjaga survival politik).

Dari sudut pandang politik, saya amat yakin bahawa pengumuman PM Najib ini adalah petanda yang cukup jelas bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sudah hampir.

Perkara yang saya khuatiri ialah bilakah segala cadangan pemansuhan ini akan dilaksanakan? Sesuatu akta, pindaan akta mahupun pemansuhan akta mestilah dicadangkan, disokong, dibahas dan diluluskan di Dewan Rakyat (parlimen) terlebih dahulu.

Sekiranya perkara ini tidak selesai sebelum daripada PRU-13, saya rasa kita tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi terhadap reform ini kerana sehingga kini pun, beliau (Najib) masih belum lagi menyelesaikan persoalan-persoalan besar seperti penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bertujuan mengkaji perjalanan sistem Pilihan Raya di Malaysia sepertimana yang digembar-gemburkan mutakhir ini.

Bahkan Najib masih gagal memberikan jaminan bahawa PRU-13 akan dijalankan selepas hasil kajian PSC selesai dilaksanakan. Lapan tuntutan BERSIH 2.0 juga belum dilihat solid akan diberikan perhatian khusus oleh Najib untuk dibincangan oleh PSC ini.

Oleh itu, kita khuatir PRU-13 yang tidak ada sebarang jaminan akan dilaksanakan dengan telus dan adil ini akan menyebabkan sekali lagi manipulasi oleh Umno/BN bagi tujuan mengekalkan kuasa. Kebimbangan saya ini adalah amat berasas sekali kerana isu terkini yang saya ketengahkan berkaitan ‘Mykad klon’ sendiri pun, masih tidak dijawab oleh beliau dan agensi-agensi berkaitan (SPR, JPN)!

Maksud saya, jika PRU-13 kali ini sekali lagi rakyat ditipu, maka ‘janji-janji manis’ pemansuhan akta itu dan ini juga tidak mustahil rakyat akan ditipu sekali lagi setelah kemenangan besar Umno/BN dalam PRU-13 nanti kerana penipuan pilihanraya yang dilakukan.

Bahkan cadangan mewujudkan beberapa akta lain bagi menggantikan akta-akta yang akan dimansuhkan juga boleh jadi lebih zalim dan menekan rakyat. Perkara ini lebih parah lagi apabila Umno/BN menang besar menerusi PRU-13 dan kuasa check and balance oleh kita – akatan Rakyat (PR) semakin berkurangan.

Kalau PR kurang di Parlimen kerana kekalahan di atas padang pilihan raya yang rata tak mengapa lah. Tapi keadaan sekarang ini, sudah lebih 50 tahun kita bertarung di padang yang tidak rata, bahkan pengadilnya juga ‘berat sebelah’. Lebih parah lagi, tidak ada sebarang jaminan bahawa padang akan ‘diratakan’ dan pengadil akan benar-benar telus dan adil!

Umno/BN jangan main wayang. Sekarang zaman Facebook dan Twitter, jangan nak main ‘silap mata’!

Oleh itu, saya memberi amaran kepada Najib. Jangan jadikan pengumuman malam tadi sebagai ‘umpan’ kepada rakyat khususnya menjelang PRU-13.

Bahkan bagi saya, tuntutan-tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil juga mestilah diberikan perhatian serta keutamaan yang serius seperti tuntutan 8 perkara (oleh BERSIH 2.0), jawapan dan tindakan terhadap isu-isu pengundi hantu dan sebagainya yang saya sifatkan menjadi ‘kunci’ kepada reformasi-reformasi lain yang ingin dilaksanakan.

Nota: Suhaizan Kayat adalah ketua Pemuda PAS Johor, merangkap pengerusi pemulihan demokrasi dan mobilisasi Pemuda PAS Malaysia.

ADS