Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rompakan di KLIA: 3 pegawai SPRM dilucut tugas
Diterbitkan:  Sep 21, 2011 5:13 PM
Dikemaskini: 11:10 PM

Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan polis dipercayai terlibat dengan kes samun ke atas seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah dikecualikan dan dilucutkan daripada sebarang tugasan siasatan.

Ketiga-tiga mereka dilucutkan daripada sebarang tugasan sementara menunggu hasil siasatan polis, menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan hari ini.

Menurut SPRM ketiga-tiga pegawai itu bukan terdiri daripada pegawai kanan tertinggi suruhanjaya itu seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan hari ini, dan menganggap dakwaan yang dibuat oleh akhbar itu adalah sesuatu yang serius.

SPRM berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa tiga pegawai kanan tertinggi SPRM ditahan polis Selangor kerana dipercayai terbabit melakukan samun ke atas seorang pengurup wang di KLIA pada 15 Sept lalu.

Menurut suruhanjaya itu, pihaknya sedang membantu pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang dijalankan berkaitan kes berkenaan.

"Memandangkan siasatan ini adalah di bawah bidang tugas pihak polis, SPRM berkeyakinan dan percaya bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus mengenai dakwaan tersebut," menurut suruhanjaya itu.

- Bernama

ADS