Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS hari ini mendakwa terdapat "ikrar" seumpama akujanji diminta dilafazkan oleh warga asing yang didakwa terlibat dalam  'sindiket' kad pengenalan dekat Putrajaya baru-baru ini.

NONE "Ada ikrar dalam bas, tidak menggunakan mikrofon, yang memberi maksud kad pengenalan biru (warganegara) diberi dan (mereka) diminta undi parti pemerintah," dakwa pengerusi Lajnah Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat dewan itu Suhaizan Kaiat ( kiri ).

Katanya, berdasarkan maklumat "beberapa saksi", sesi ikrar itu dikendalikan oleh tiga orang di bahagian belakang bas ketika dalam perjalanan daripada Johor ke Putrajaya.

"Seorang daripadanya seorang wanita yang berjaket hitam yang mempunyai logo Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya.

Menurut Suhaizan lagi, wanita tertabit juga memberikan "taklimat tertentu" dalam bas.

Pemuda PAS minggu lalu dilapor mengepung sekumpulan 240 orang pendatang asing dalam peristiwa itu. JPN dan polis Sepang bagaimanapun dilaporkan manafikan dakwaan berlakunya sindiket itu.

Dakwaan ini hampir sama dengan pendedahan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin pada 16 Ogos lalu yang dilapor berkata, kerajaan mensyaratkan pendatang asing tanpa izin membaca 'skrip bersumpah' menyokong Umno dan BN sebagai sebahagian proses pemutihan.

Desak jawatankuasa khas kabinet

Dakwanya, pada skrip itu, tertulis teks: "Saya/suami/isteri/anak-anak tanpa berbelah bagi akan menyokong dan mengundi Umno/BN".

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini, Suhaizan mendakwa ikrar itu dikenalpasti berlaku dalam dua bas dan dijangka turut berlaku dalam semua bas.

pas mazlan aliman expose on migrant workers getting citizenship ic 121011 cop Bagaimanapun, tambahnya, saksi itu hanya rela tampil membantu siasatan sekiranya kerajaan bersetuju menubuhkan jawatankuasa bebas yang dapat memastikan siasatan dilakukan dalam keadaan bebas tekanan terhadap pemberi maklumat.

"Buat dulu jawatankuasa bebas baru kita nyatakan siapa saksi kita," katanya yang enggan mendedahkan nama sumbernya buat masa ini.

Mengulas penubuhan jawatankuasa itu, Suhaizan mencadangkan jawatankuasa itu diselia di peringkat kabinet.

"Jawatankuasa ini hendaklah ditubuhkan kerajaan dan tidak boleh dianggotai menteri dalam negeri.

"Sekiranya jawatankuasa ini merasakan perlu ditubuhkan suruhanjaya diraja, baru kita lakukan," katanya yang juga ketua Pemuda PAS Johor.

Pelbagai pihak mesti dipanggil memberikan maklumat, termasuk pengusaha resort, warga asing terbabit, penganjur program, pihak polis dan Pemuda PAS sendiri, tambahnya lagi.

ADS