Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LPKP ambil masa 700 hari untuk selesai kes, aduan
Diterbitkan:  Oct 25, 2011 8:15 AM
Dikemaskini: 2:55 AM

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendedahkan ada kes tangkapan dan aduan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengambil masa lebih 700 hari untuk diselesaikan.

NONE Menurut laporan itu, tempoh tersebut bermula daripada tarikh tangkapan sehingga tindakan amaran, pembayaran kompaun, penggantungan atau pembatalan lesen yang boleh diselesaikan dalam masa sehari.

Perkara tersebut dikesan menerusi semakan terhadap 486 kes tangkapan dari tahun 2008 hingga Mei 2010, menurut laporan itu.

Selain itu, semakan juga mendapati LPKP mengambil masa antara 41 hingga 756 hari untuk menyelesaikan 123 daripada 257 aduan, yang mana bertentangan dengan piagam organisasi iaitu 30 hari bagi urusan pengendalian aduan.

Jabatan Audit Negara turut mendapati ada kelemahan lain dalam LPKP seperti tidak mengambil tindakan pendakwaan, prosedur kerja penguatkuasaan tidak dipatuhi dan pengurusan fail serta dokumen yang tidak teratur.

Sehubungan itu, jabatan tersebut mengesyorkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang ditubuhkan 31 Jan lalu bagi menggantikan LPKP di Semenanjung Malaysia, memperbaiki kelemahan LPKP tersebut bagi memastikan penguatkuasaan dan pengurusan yang cekap dan teratur.

azlan Jabatan antara lain mencadangkan SPAD menetapkan tempoh masa bagi pelesen atau pemandu untuk hadir ke pejabat bagi menentukan sama ada mereka dikenakan tindakan amaran, kompaun atau dibebaskan.

Turut disyorkan agara pegawai pendakwa dilantik segera bagi membolehkan tindakan mahkamah diambil terhadap pesalah yang mempunyai kompaun tertunggak melebihi tempoh kuatkuasanya.

Jabatan itu juga menyarankan SPAD meminta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) menjalankan kajian menyeluruh terhadap prosedur bahagian penguatkuasaan bagi memastikan kecekapan, integriti dan ketelusan operasinya.

- Bernama

ADS