Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) sebagai tidak sah, Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau secara peribadi setuju supaya akta itu dipinda.

NONE Katanya, beliau telah banyak kali menyuarakan perkara itu, antaranya dalam tulisannya di dada akhbar, termasuk membentangkannya dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno sebelum ini.

"Ada orang mahu pinda, ada orang minta mansuh (AUKU). Tetapi kita sebenarnya bercakap perkara yang sama, iaitu tidak suka pada Seksyen 15.

"Kita mahu mahasiswa bebas bersuara dan menyertai politik. Pada saya kita kena pinda Seksyen 15," katanya yang dilihat kerap memberikan pandangan promahasiswa dalam pelbagai isu.

Mahkamah Rayuan pada 30 Oktober memutuskan Seksyen 15(5) AUKU yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya sebagai tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Ketika diajukan soalan tentang pendiriannya berhubung isu itu dalam forum membincangkan "politik baru" di Kuala Lumpur malam tadi, Saifuddin berkata pindaan perlu dibuat, antaranya demi meningkatkan penyertaan mahasiswa.

Sementara itu, bercakap kepada Malaysiakini dan sebuah saluran televisyen selepas itu, Saifuddin berkata, sebelum dibawa ke kabinet, isu sama ada kerajaan perlu membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan akan dibincangkan di peringkat kementeriannya dahulu.

NONE Katanya, keputusan mahkamah tidak harus dilihat daripada aspek pihak mana yang menang dan pihak mana yang kalah, sebaliknya hendaklah meliputi persoalan moral dan intelektual di sebaliknya.

PPSMI: Jangan ugutan politik

"(Kerana) kita boleh sahaja menang secara legal (undang-undang) tetapi kalah daripada sudut moral," katanya yang juga anggota parlimen Temerloh.

Ditanya tindakannya sekiranya kabinet memutuskan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan, Saifuddin menjawab perkara beliau terpaksa akur jika keputusan itu dicapai.

Bagaimanapun, tambahnya, masih terlalu awal untuk sampai ke peringkat itu.

"Kita masih boleh bincang perkara tersebut," katanya lagi.

anti ppsmi a million post card campaign Sementara itu, menyentuh isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang berbangkit semula, Saifuddin berkata ia berpunca akibat tidak cukup perbincangan ketika ia diperkenal dan juga ketika dimansuh.

"Jadi kita terperangkap di tengah-tengah. Yang penting bagaimana menseimbangkan antara pilihan dan perpaduan nasional (dalam pengajian dua subjek itu)," katanya ketika bersoal jawab dengan peserta program itu.

Beliau juga menggambarkan keadaan yang berlaku sekarang antara kumpulan pro dan anti-PPSMI seolah-olah "dua parti politik" berbeza.

"Jangan buat ugutan politik. Ini soal pendidikan. Bawa bincang," katanya kepada pemberita selepas itu.

Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) dengan nada amaran sebelum ini mendesak PPSMI diperkenal semula sebagai ganti kepada kemenangan dua pertiga BN dalam parlimen.

ADS