Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN T'ganu dakwa masalah selesai, sedia hadapi PRU-13
Diterbitkan:  Nov 2, 2011 6:09 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

BN negeri Terengganu telah berjaya menyelesaikan masalah sesama sendiri dan kini memberi tumpuan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13, kata pengerusinya Datuk Seri Ahmad Said.

terengganu ahmad said and state assembly 130509 Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata dalam keadaan sekarang pihak BN negeri tidak menghadapi sebarang masalah.

"Kita lihat sekarang masalah hampir selesai. Maksudnya semua anggota parti dapat bersama kepimpinan dengan memperlihatkan sokongan yang padu. Saya begitu yakin dengan isyarat diberikan rakyat menerusi program yang telah dibuat oleh kerajaan.

"Wartawan boleh membuat perbandingan apa yang kerajaan Terengganu buat untuk rakyat berbanding negeri lain," katanya ketika mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dua hari lalu yang meminta negeri menyelesaikan masalah parti secara berhemah.

Ahmad berkata, kerajaan negeri telah dengan sebaiknya menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat di bawah program merakyatkan pentadbiran dan pembangunan.

Beliau berkata Terengganu dapat melakukan ini semua kerana kerajaan pusat dan negeri tidak ada percanggahan.

"Orang boleh berjanji tetapi belum tentu dapat menunaikan janji. Seperti orang bercinta, berkasih tetapi dusta....Kelantan 20 tahun lebih PAS memerintah, tetapi masalah air tidak dapat diselesaikan," katanya.

Ahmad berkata, rentak jentera BN sekarang dirasakan cukup bersedia menghadapi pilihan raya walaupun PAS mendakwa mereka boleh menawan dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Air Puteh dan Cukai di Kemaman.

"Saya yakin kita dapat tambahan kerusi yang lebih banyak pada PRU-13 nanti," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS