Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perwakilan: Pemimpin pembangkang tipu rakyat
Diterbitkan:  Dec 2, 2011 1:56 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Perwakilan Umno menyambung perbahasan hari ini dengan membidas pembangkang yang disifatkan mereka sentiasa mencari jalan memperlekehkan usaha kerajaan BN serta memfitnah pemimpin Umno.

Wakil Melaka Datuk Hasnoor Sidang Husin berkata pembangkang menipu rakyat kononnya mereka mewakili suara masyarakat, sedangkan segala yang dibangkit adalah luahan kelompok mereka sendiri.

"Mereka mendesak pemansuhan Akta ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) beralaskan slogan demokrasi dan kebebasan bersuara, namun bila kerajaan umumkan bakal memansuhkan akta ini, tak ada pun kenyataan menyokong dan berterima kasih kepada Perdana Menteri," kata Ketua Penerangan Umno Bukit Katil itu ketika membahas usul ucapan dasar presiden, di Kuala Lumpur.

Katanya pembangkang akan terus menabur fitnah untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap Umno dan pemimpinnya.

Wakil Pahang Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak pula menyeru anggota Umno agar bangkit menangkis segala fitnah pembangkang itu.

"Pembangkang melontarkan fitnah bertalu-talu terhadap Presiden (Datuk Seri Najib  Razak) sampaikan ketika beliau mengerjakan haji pun mereka sebar pelbagai fitnah," katanya.

Wan Amizan juga membidas segelintir anggota Umno yang turut memburukkan keadaan dengan menokok tambah cerita sehingga mengelirukan pembangkang.

"...jadi bermula hari ini, kita semua berjanji untuk padamkan apa saja fitnah dan keburukan terhadap pemimpin dan parti," katanya.

Dalam pada itu, Wan Amizan memohon agar pemimpin Umno agar tidak menimbulkan kontroversi sehingga mewujudkan keraguan rakyat terhadap kepimpinan parti itu.

Ini kerana katanya, anggota Umno pada peringkat akar umbi menghadapi kesukaran untuk menjawab dan menjelaskan kepada rakyat mengenai permasalahan yang timbul.

- Bernama

ADS