Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mustapa: Wakil rakyat BN perlu menilai diri
Diterbitkan:  Dec 4, 2011 4:46 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Semua pemimpin terutama wakil rakyat Barisan Nasional (BN) perlu menyerahkan kepada pucuk pimpinan memilih calon baharu menggantikan mereka, pada pilihan raya umum akan datang, jika merasakan rakyat sudah menolak mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ada kalangan mereka yang telah bertanding sebanyak tujuh atau lapan kali (pada pilihan raya) masih lagi diterima rakyat dan sebab itu mereka perlu menilai diri mereka kali ini sama ada mereka calon yang boleh menang atau sebaliknya.

manrek urai umno ceramah mustapa and annuar 060709 03 "Kalau kita sudah ditolak kita buat penilaian sendiri sebelum pucuk pimpinan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Agrobank Cawangan Kubang Kerian dan Penyerahan Zakat Negeri Kelantan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat (MAIK) di Kota Bharu, hari ini.

Pada majlis itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Wan Mohd Fadzmi Wan Othman menyerahkan cek untuk zakat bank itu bernilai RM47,863 kepada wakil MAIK.

Mustapa berkata Umno kini perlu mencari bakat baharu dalam arus politik negara terutama golongan muda bagi menggantikan calon lama yang suatu hari nanti pasti berundur untuk memberi laluan kepada orang lain.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan juga berharap anggota Umno Kelantan menjadikan Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini sebagai pembakar semangat untuk berjuang pada pilihan raya umum ini.

"Di Kelantan saya lihat semangat anggota Umno sangat kuat walaupun ada sedikit masalah yang bagi saya adalah lumrah dan tidaklah memberi kesan," katanya.

Menurutnya antara kelemahan Umno Kelantan sebelum ini adalah kerana pemimpin yang ada bercakaran sesama sendiri menyebabkan Umno menjadi lemah dan ditolak rakyat.

- Bernama

ADS