Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asas Pakatan rapuh, kata Najib
Diterbitkan:  Dec 17, 2011 4:43 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Datuk Seri Najib Razak berkata asas pakatan yang rapuh termasuk perbezaan ideologi di kalangan parti pembangkang menjadi punca mereka menghadapi pelbagai masalah sesama sendiri.

Perdana menteri berkata pakatan seperti itu tidak boleh bertahan lama kerana pakatan pembangkang bekerjasama kerana benci kepada BN sahaja.

"Itu tak boleh menjadi asas untuk bertahan lama sebab bila mereka ada perbezaan pendapat dan pendirian yang begitu fundamental maka lambat laut akan timbul percanggahan yang ketara antara satu sama lain," katanya kepada pemberita ketika melancarkan Kelab Usahawan Siswazah Tani (MYAGROSIS) peringkat kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia dan Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat Sungai Petani hari ini.

Perdana menteri berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan politik membabitkan parti-parti pembangkang yang dilihat menghadapi pelbagai masalah termasuk dalam usaha untuk bekerjasama.

Najib berkata pakatan rapuh itu berbeza dengan BN yang sentiasa bekerjasama kerana mempunyai satu dasar sahaja yang diterima oleh semua parti komponen.

"Belum lagi pilihan raya dah macam-macam masalah antara mereka. Itulah jadinya apabila mereka ada perbezaan idelogi yang begitu ketara dan menyentuh soal yang begitu fundamental," katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga Presiden Umno berkata selepas Perhimpunan Agung Umno, semangat para anggota Umno dilihat begitu tinggi bagi menghadapi pilihan raya umum.

 

" Saya harap mereka akan bawa ke kawasan masing-masing dan teruskan usaha kita untuk perkukuhkan jentera kita dan buat kerja seperti diarahkan oleh kita," kata beliau.

- Bernama

ADS