Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK desak Utusan dedah 'sumber polis'
Diterbitkan:  Jan 11, 2012 3:22 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam sekeras-kerasnya laporan berita bertajuk ‘Bom milik peserta perhimpunan’ yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Utusan Malaysia hari ini memetik sumber polis bahawa bom buatan sendiri dipercayai dibawa oleh mereka yang menyertai perhimpunan Kempen Bebas Anwar 901.

NONE "Laporan berita ini jelas bersifat jahat dan bertujuan untuk memburuk-burukkan imej penyokong Anwar Ibrahim," kata ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Katanya, berdasarkan pemantauan pihak AMK pada pagi tersebut, peserta perhimpunan hanya dibenarkan masuk ke kawasan kompleks mahkamah seawal jam 6.30 pagi dengan dikawal ketat oleh pihak polis.

"Pihak polis turut memeriksa beg setiap peserta perhimpunan yang masuk ke perkarangan kawasan sekitar kompleks mahkamah dan kemudiannya meneruskan kawalan sehingga perhimpunan bersurai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, AMK berpandangan insiden letupan bom ini adalah percubaan jahat pihak tertentu untuk mencemarkan imej polis kerana difahamkan bahawa bom tersebut telah diletakkan di bawah kon keselamatan pihak polis sendiri.

"Di samping itu, ia juga bertujuan untuk memburukkan imej peserta perhimpunan yang jelas berjaya menurut semua arahan polis dan memberikan kerjasama penuh dalam memastikan perhimpunan tersebut berjalan dalam situasi aman dan selamat," tegasnya.

NONE AMK juga mendesak akhbar Utusan Malaysia supaya mendedahkan identiti ‘sumber polis’ yang dikatakan mendakwa bahawa tiga butir bom yang meletup kelmarin adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901.

"Adalah cukup pelik kerana pihak polis sendiri masih belum mengumumkan hasil siasatan berhubung insiden tersebut tetapi akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan ‘hasil siasatan’ mereka sendiri yang kemudiannya diolah menjadi berita fitnah dan propaganda jahat.

"Justeru, pihak AMK akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Kuala Lumpur bagi memohon beliau mengumumkan hasil siasatan polis dan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut yang mana telah menyebabkan beberapa peserta perhimpunan mengalami kecederaan," tegasnya.

ADS