RENCANA PENGARANG | Hari ini menandakan ulang tahun keempat dan terakhir bagi penggal pertama Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri. Kadar penerimaan orang ramai terhadapnya berada pada tahap sederhana sekitar 50 peratus tahun ini manakala gabungan PH yang diterajuinya dibelasah teruk dalam empat pilihan raya negeri berturut-turut.

Namun, adakah tempoh perkhidmatannya semuanya buruk? Adakah pentadbirannya menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik? Apa yang sepatutnya boleh dilakukan dengan lebih baik?

Sidang pengarang Malaysiakini mengajukan persoalan ini dan menyusun rangkuman tempoh perkhidmatannya yang dipecahkan kepada tiga komponen - ekonomi, tadbir urus dan reformasi, serta politik.

Kami juga menyenaraikan harapan dengan doa semoga Anwar, dengan kuasa tanda tangannya, akan meninggalkan legasi yang bermakna.

EKONOMI:

Budi 95

Baik: Walaupun bukan penghapusan subsidi sepenuhnya - kerana golongan kaya masih layak mendapat bahan api bersubsidi - peralihan kepada bantuan bersasar merupakan langkah ke arah yang betul untuk ekonomi.

Menurunkan kuota kepada 200 liter sebulan bagi mengurangkan kesan perang Iran terhadap ekonomi juga wajar dipuji.

Namun: Mengembalikan kuota kepada 300 liter sebulan ketika harga minyak kekal lebih tinggi berbanding semasa had itu dipotong menimbulkan persoalan. Diakui sesetengah pemandu memang memerlukan kuota yang lebih tinggi. Bagaimanapun, keputusan itu secara meluas dilihat sebagai langkah populis yang bertujuan mengukuhkan sokongan yang kian merosot terhadap gabungan PH.

Ia juga melemahkan hujah kerajaan sendiri bahawa 80 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter RON95 sebulan, sambil memaksa kerajaan menanggung bil subsidi yang boleh melebihi RM40 bilion tahun depan.

Ekonomi makro lawan mikro

Baik: Pentadbiran Anwar berjaya memastikan negara terus bertahan dalam keadaan dunia bergelora, malah angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan hasil mengatasi jangkaan.

Ini termasuk mengekalkan hubungan kukuh dengan China dan Amerika Syarikat, bagi memastikan aliran pelaburan dan perdagangan terus berjalan.

Namun: Rakyat masih merasai keperitan akibat kos sara hidup tinggi, perkara yang diakui sendiri oleh Anwar.

Ruang yang kabur: Ketika isi rumah masih bergelut, kerajaan memotong bantuan tunai untuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan menggantikannya dengan lebih banyak kredit barangan dapur - sambil mengekalkan jumlah bantuan keseluruhan yang sama - selama dua tahun.

Ia tidak pernah menyatakannya secara terbuka atau menjelaskan rasionalnya - dengan butiran sebaliknya disembunyikan di bawah soalan lazim yang hanya menyebut angka pembayaran baru.

Walaupun boleh dihujahkan bahawa kredit untuk membeli barangan rumah akan membebaskan wang tunai dan menghalang penyalahgunaan bantuan kerajaan, ahli ekonomi memberi amaran bahawa kredit barangan dapur tidak akan membantu keluarga yang bergelut membayar sewa dan bil.

Tadbir urus dan reformasi:

Anwar Ibrahim PMX 4th anniversary edition special report 231126 Versi BM Tadbir urus

Ketelusan

Baik: Akta Perolehan Kerajaan akan menjadikan keputusan perolehan telus, dengan akses awam kepada butiran projek dan kontrak kerajaan bermula tahun depan serta sistem tribunal untuk kontraktor membangkitkan isu.

Ia dicanangkan sebagai penyelesaian yang boleh menghalang skandal mega pada masa depan seperti 1MDB.

Tapi: Pengkritik berkata menteri kewangan mempunyai terlalu banyak kuasa di bawah undang-undang itu, termasuk untuk mengecualikan badan berkanun, pihak berkuasa tempatan atau entiti kerajaan lain daripada mematuhi akta berkenaan.

Dalam proses: Terdapat harapan untuk ketelusan yang lebih besar dalam cara kerajaan beroperasi sebaik sahaja Putrajaya membentangkan semula undang-undang Akta Kebebasan Maklumat yang diolah semula ke Parlimen.

Bagaimanapun, terdapat sedikit keraguan sama ada kerajaan Anwar mampu melaksanakannya atau tidak. Draf terdahulu dikritik hebat kerana mengekalkan Akta Rahsia Rasmi dan meletakkan halangan untuk mendapatkan maklumat.

Reformasi institusi

Dalam proses: Banyak harapan disandarkan kepada Anwar untuk meluluskan dua rang undang-undang utama, iaitu pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya, serta had tempoh jawatan perdana menteri.

Di atas kertas, dia mempunyai sokongan yang mencukupi untuk meluluskan kedua-duanya, tetapi selagi ia belum dilaksanakan, Malaysiakini menangguhkan penilaian untuk mengiktirafnya sebagai kejayaan.

Tapi: Rang undang-undang pengasingan AG-PP dan cadangan mekanisme untuk membolehkan Parlimen menyaring calon pendakwa raya membangkitkan persoalan besar. Mengapa perkara yang sama tidak dilakukan untuk peranan ketua SPRM dan jawatan utama lain sedangkan terdapat sokongan dwipartisan untuknya?

Buruk: Satu reformasi utama yang belum dilakukan Anwar ialah membebaskan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) daripada pengaruh perdana menteri. Ini berlaku walaupun Majlis Raja-Raja memintanya berbuat demikian tidak lama selepas dia menjadi perdana menteri.

Sebaliknya, JAC terpalit skandal tahun lepas, selepas dakwaan campur tangan timbul. Pelantikan anggota JAC oleh Anwar turut mendapat perhatian.

MA63

Baik: Anwar boleh dikatakan membuat kemajuan paling banyak berbanding semua perdana menteri terdahulu ke arah merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 dan memberi lebih kuasa kepada Sabah dan Sarawak, dengan pembayaran geran khas kepada kedua-dua negeri pada paras tertinggi.

Tapi: Walaupun perdana menteri bersetuju memberikan Sabah dan Sarawak satu pertiga kerusi di Parlimen, ini sepatutnya menjadi antara perkara pertama yang ditandatanganinya. Tiada sebab mengapa ia perlu mengambil masa hampir empat tahun untuk dipersetujui.

Proses itu sepatutnya boleh dijalankan serentak dengan proses persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya bagi kerusi negeri Sarawak. Sebaliknya, ia kini menjadi satu lagi proses berasingan yang berkemungkinan besar tidak sempat disiapkan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Hak asasi manusia

Baik: Cubaan membunuh diri digugurkan sebagai jenayah selaras dengan piawaian antarabangsa yang menganggap insiden sedemikian sebagai isu kesihatan mental yang memerlukan rawatan dan belas kasihan berbanding keadilan undang-undang.

Langkah ini, bersama pemansuhan hukuman mati mandatori pada tahun pertama Anwar sebagai perdana menteri, menjadi antara dasar kemanusiaan penting yang berpotensi meninggalkan kesan berkekalan.

Buruk: Walaupun berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan dan undang-undang drakonian lain, kerajaan tidak membuat sebarang kemajuan dalam hal ini selama bertahun-tahun, malah mempertahankan penggunaan Akta Hasutan.

Hanya pada 29 Ogos tahun ini barulah Anwar berkata semua undang-undang era penjajah mesti dimansuhkan - walaupun dia tidak memperincikannya.

Buruk: Dakwaan salah guna kuasa oleh pegawai polis dan penjara masih berterusan di bawah pengawasan Anwar, terutamanya dalam kes rusuhan Penjara Taiping, kematian Noorizwan Zulkefly, dan kes tembakan Durian Tunggal.

Peruntukan kawasan

Baik: Semua kawasan pilihan raya di negara ini layak mendapat peruntukan pembangunan daripada kerajaan.

Tapi: Hanya anggota parlimen kerajaan yang dapat menguruskan wang tersebut. Dana di kerusi pembangkang dikendalikan oleh penyelaras kerajaan - tidak jauh beza dengan cara Najib Razak melakukannya dahulu.

Anwar bertegas anggota parlimen mesti berunding dengan kerajaan atau menandatangani perjanjian keyakinan dan perbekalan untuk mendapatkan dana. Pendirian ini bercanggah dengan janji PH pada PRU15 untuk memberikan peruntukan saksama. Syarat itu juga memberi kelebihan kepada kerajaannya berbanding anggota parlimen pembangkang.

Ia juga menafikan keupayaan anggota parlimen pembangkang untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat yang mengundi mereka.

Ini boleh menjadi satu isu yang akan menghantui Anwar dan PH jika mereka kalah dalam pilihan raya umum akan datang dan dinafikan peruntukan.

Penggubalan dasar yang kelam-kabut

Buruk: Kerajaan Anwar mempunyai kecenderungan untuk mengumumkan keputusan dasar secara mengejut yang belum sedia untuk dilaksanakan.

Contohnya termasuk mengeluarkan nikotin daripada Senarai Racun tanpa sebarang undang-undang pengganti yang sedia ada, menjadikannya sah di sisi undang-undang untuk tempoh yang agak lama bagi golongan bawah umur membeli produk nikotin.

Terdapat juga keputusan untuk mempercepat kemasukan secara pilihan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1 sekolah rendah pada 2027, walaupun sekolah belum bersedia. Cadangan ujian saringan untuk menentukan jika kanak-kanak berkenaan bersedia juga dibatalkan hanya seminggu selepas ia diumumkan.

Lencana Jalur Gemilang juga diwajibkan ke atas murid pada 2025, tetapi kerajaan membatalkan idea itu dalam masa beberapa minggu.

POLITIK:

Selamatkan Zahid, Umno

Buruk: Lima bulan memasuki tahun pertamanya sebagai perdana menteri, Anwar - melalui Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution - telah menyelamatkan Umno daripada pembatalan pendaftaran apabila parti itu memutuskan tiada pertandingan bagi jawatan presiden Ahmad Zahid Hamidi.

Kini Anwar menerima padahnya. Zahid dan Umno meninggalkan PH, membelasahnya dalam pilihan raya negeri, dan sedang merangka laluan yang boleh menyaksikannya menyapu bersih kuasa pada pilihan raya umum akan datang dengan bersekutu bersama PN.

Walaupun Umno kekal sebagai rakan kongsi kerajaan persekutuan - kononnya kerana mematuhi titah diraja untuk membentuk kerajaan gabungan - perbalahan terbuka yang kerap menjejaskan kestabilan kerajaan dan cengkaman kuasa Anwar.

Pengurusan parti yang lemah

Buruk: Puak-puak dalam PKR merupakan masalah yang berlarutan sejak sekian lama dan ini berterusan di bawah pentadbiran Anwar.

Walaupun presiden parti itu mendakwa tidak memihak, keadaan memuncak pada pemilihan parti 2025. Pada asalnya, kedua-dua Anwar dan timbalannya ketika itu Rafizi Ramli sepatutnya mengekalkan jawatan mereka.

Bagaimanapun, Anwar tidak campur tangan apabila kem anti-Rafizi meletakkan anak perempuannya sendiri, Nurul Izzah sebagai pencabar. Walaupun Nurul Izzah menang, keputusan itu merugikan kem Anwar kerana anak sulungnya itu tidak begitu menonjol selepas dipilih, sebelum dia mengemukakan peletakan jawatan setahun kemudian.

Rafizi, sementara itu, mempunyai parti baru, Bersama yang sedang mengacau PKR dan PH.

Hubungan kaum

Buruk: Anwar sering menyifatkan rakyat semua kaum sebagai anaknya sendiri, tetapi ada kalanya cakap tidak serupa bikin.

Antara kritikan termasuk tuduhan dia membuli seorang pelajar perempuan India yang meminta meritokrasi dalam pendidikan, cara dia mengendalikan pertikaian kuil Hindu di Kuala Lumpur dan kenyataannya mengenai kuil haram - yang kemudian disusuli permohonan maafnya - serta tindak balas perlahan terhadap kenyataan berbaur perkauman, terutamanya apabila membabitkan Umno.

Pendirian Anwar dalam perkara ini dilihat sebagai sebahagian daripada percubaannya untuk meluaskan daya tarikan PH dalam kalangan orang Melayu. Bagaimanapun, ia tidak membuahkan banyak hasil dan sering mengorbankan golongan bukan Melayu yang merupakan penyokong utama gabungan itu.

Azam Baki, rasuah

Buruk: Anwar sering lantang bersuara mengenai rasuah, tetapi tindakannya tidak seiring disebabkan kepentingan politik - seperti dalam skandal perlombongan Sabah yang turut menjerat orang yang rapat dengannya.

Walaupun dua ahli politik Sabah, pemberi maklumat merangkap pemberi rasuah Albert Tei dan bekas setiausaha politiknya Shamsul Iskandar Md Akin didakwa - tokoh utama lain yang terbabit dalam skandal itu, termasuk sekutu Anwar dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Nor tidak dikenakan sebarang tindakan rasmi.

Kerajaan juga lambat bertindak terhadap dakwaan mafia korporat yang turut mengaitkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, seorang lagi individu yang rapat dengan Anwar.

Kemudian terdapat isu Azam Baki, yang menerima tiga kali pelanjutan tempoh sebagai ketua SPRM walaupun dikritik sebelum akhirnya bersara di tengah-tengah skandal pegangan saham selain dikaitkan dengan skandal mafia korporat.

Farhash dan Azam telah menafikan dakwaan terhadap mereka.

Anwar baru-baru ini berjanji dia tidak akan melindungi sama ada Farhash atau Azam jika nama mereka timbul dalam siasatan mafia korporat, tetapi siasatan itu mengambil masa yang lama untuk dimulakan.

Kita masih tidak tahu apa yang berlaku kepada siasatan pegangan saham Azam, walaupun ia selesai pada Mac.

SENARAI HARAPAN:

Tempoh setahun bukanlah masa yang lama untuk meluluskan undang-undang, terutamanya apabila penggal kedua tidak terjamin.

Walaupun begitu, kami percaya terdapat beberapa perkara yang boleh dicapai jika Anwar bertegas.

Tambahan pula, kebanyakan perkara ini dijanjikan dalam ikrar pilihan raya PH untuk 2022.

Mansuhkan Akta Hasutan

Hal ini mudah dicapai oleh Anwar. Dia sudah berkata bahawa undang-undang penjajah yang lapuk patut dimansuhkan. Kini dia hanya perlu memberi arahan supaya Akta Hasutan boleh dimansuhkan oleh Parlimen.

Tiada keperluan untuk undang-undang pengganti juga, kerana peruntukan Kanun Keseksaan yang sedia ada sudah memadai.

Reformasi pilihan raya

Sistem pemenang undi terbanyak ditambah dengan persempadanan tidak adil yang belum selesai jelas tidak berkesan - bukan sahaja untuk PH tetapi juga untuk pengundi.

Ambil pilihan raya Melaka sebagai contoh, 29.3 peratus pengundi di negeri itu mengundi PH, tetapi gabungan itu hanya memenangi 14 peratus kerusi.

Penyelesaiannya mungkin terletak pada laporan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC), yang ditauliahkan oleh kerajaan PH pertama, tetapi sebahagian besarnya masih dirahsiakan. Menggugurkan status rahsia dokumen ini patut menjadi keutamaan.

Satu lagi kejayaan mudah dapat dicapai dengan memperluaskan hak mengundi pos kepada rakyat Malaysia Timur yang tinggal di Semenanjung dan sebaliknya.

Peruntukan saksama dan undang-undang dana politik

Anwar patut menghormati manifesto PH dan memberikan dana pembangunan kawasan yang saksama kepada semua anggota parlimen, tanpa sebarang syarat. Gabungannya akan berterima kasih kepadanya jika mereka menjadi pembangkang pada masa hadapan sekiranya proses ini digubal menjadi undang-undang.

Pada masa sama, pentadbiran Anwar patut menjadikan kelulusan undang-undang mengenai pembiayaan politik sebagai keutamaan. Kita tidak boleh membiarkan satu lagi skandal penderma Arab muncul pada masa hadapan, tidak kira siapa yang berkuasa.

Reformasi institusi

Anwar boleh memperkasakan sebuah jawatankuasa di Parlimen untuk menyemak pengelasan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, kecuali dalam perkara keselamatan negara.

Di samping pengasingan peguam negara dan pendakwa raya yang sedang dijalankan, Anwar juga boleh menggubal undang-undang yang menjamin tempoh jawatan pendakwa raya serta pegawai tertinggi polis dan SPRM bagi memastikan perkhidmatan mereka tidak dipendekkan sewenang-wenangnya oleh perdana menteri yang sedang berkhidmat.