Pengasas Nvidia, Jensen Huang, kembali menerajui syarikat itu sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) dengan sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, ketika syarikat itu berdepan tekanan akibat kejatuhan harga saham.

Media AS melaporkan Trump memberi jaminan kepada lembaga pengarah Nvidia mengenai ketiadaan bukti Jensen melakukan kesalahan undang-undang.

Dia dilantik semula dua minggu selepas didesak meletak jawatan susulan dakwaan menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita yang disyaki perisik China.

Berita pelantikan semula itu mendorong harga saham Nvidia melonjak 31 peratus pada penutupan dagangan.

Sementara itu, Washington menyenaraihitamkan tujuh syarikat yang dikaitkan dengan wanita berkenaan, susulan kebimbangan cip pengkomputeran canggih disalurkan kepada pengguna atau bagi kegunaan yang tidak dibenarkan.

Antaranya Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura serta tiga syarikat di Malaysia — PT Megaspeed International, Speedmatrix Sdn Bhd dan MSFusion Sdn Bhd.

Malaysiakini sudah menghubungi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Abdul Ghani untuk mendapatkan maklum balas.

Sebelum ini, Jensen dilaporkan menjalin hubungan sulit dengan ahli perniagaan Alice Huang, bekas eksekutif Megaspeed yang dikatakan masih mempunyai hubungan rapat dengan syarikat itu.

Alice tiada pertalian keluarga dengan Jensen.

Megaspeed menjadi rakan kongsi rasmi Nvidia dalam pengkomputeran awan pada 2023.

Dari Jun 2024 hingga Februari tahun ini, syarikat itu dilaporkan membeli cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia bernilai AS$4.8 bilion (RM19.5 bilion).

Pembelian itu bermula hanya beberapa minggu selepas gambar pertama Jensen bersama Alice diambil.

Menurut laporan New York Times (NYT), cip itu dieksport ke pusat data di Malaysia dan Indonesia yang dipercayai menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di China.

Penghantaran itu mungkin melanggar sekatan perdagangan AS jika dibuat atas arahan sebuah syarikat China.

Dalam laporan pada Oktober tahun lalu, NYT turut mendedahkan seorang pegawai perdagangan AS menemui kotak berisi cip AI Nvidia yang belum dibuka ketika melawat pusat data kendalian Speedmatrix.

Menurut laporan yang memetik pegawai yang mengetahui pemeriksaan berkenaan, cip itu disyaki akan dihantar semula ke China. Bagaimanapun, bukti muktamad belum diperoleh ketika itu.

Sejak April 2025, polis Malaysia menyiasat dakwaan negara ini digunakan untuk memintas sekatan eksport AS terhadap cip AI Nvidia.

Pihak berkuasa turut meneliti pematuhan syarikat Malaysia terhadap peraturan AS berhubung penghantaran cip AI.