Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengganti Hasan Ali diumum Rabu ini, kata MB

Ahli exco kerajaan negeri Selangor yang akan menggantikan Datuk Hasan Ali hanya akan diumum pada majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam Rabu ini.

khalid ibrahim pc 171111 Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini kerana beliau dan kepimpinan PAS masih berbincang mengenai calon yang sesuai bagi menggantikan Hasan yang dipecat dari PAS baru-baru ini.

"Saya dan PAS memutuskan untuk mengumumkan anggota exco Selangor yang baru itu pada Rabu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Abdul Khalid sebelum ini meminta Hasan mengosongkan jawatan exco itu kerana beliau telah dipecat daripada PAS pada 8 Jan dan dengan itu, tidak lagi mewakili parti berkenaan dalam kerajaan negeri.

Pada Jumaat, Menteri Besar itu berkata Sultan Selangor berkenan membatalkan pelantikan Hasan sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco).

Abdul Khalid berkata keputusan itu dibuat atas nasihat beliau kepada baginda ketika menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam.

NONE Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu dipecat daripada PAS pada Ahad lalu kerana tindakannya yang dikatakan menyalahi dan merugikan kepentingan parti itu.

Hasan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor.

Ditanya sama ada akan berlaku perubahan portfolio anggota exco yang baru,  Abdul Khalid berkata: "Ia akan diumum apabila tiba masanya".

- Bernama

ADS