Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
NGO kutuk perbuatan palsukan surat jemputan HIMPUN
Diterbitkan:  Jan 27, 2012 8:56 AM
Dikemaskini: 4:03 AM

NGO Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) mengutuk sekerasnya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab menggunakan kepala surat exco agama Islam Pulau Pinang yang didakwa diedarkan untuk menjemput  jemaah masjid di negeri itu menghadiri HIMPUN di Kepala Batas esok.

"Ini adalah tindakan yang kotor, jelek dan tidak beretika untuk mewujudkan kekeliruan dengan mengguna nama kerajaan negeri Pulau Pinang dan HIMPUN," kata Presiden TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid.

"Saya sama sekali tidak dapat menerima tindakan tersebut dan laporan polis yang dibuat oleh exco agama Islam negeri adalah tepat dan wajar disiasat segera oleh pihak polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, pengerusi jawatankuasa halehwal Islam negeri, Abdul Malik Abdul Kassim mendedahkan bahawa surat "rasmi" yang memaparkan logo kerajaan Pulau Pinang dan didakwa ditandatanganinya, sedang disebarkan kepada beberapa jawatankuasa masjid, meminta mereka menghadiri perhimpunan itu esok.

Abdul Malik menafikan pernah mengeluarkan surat seperti itu dan telah membuat laporan polis mengenai penyalahgunaan kepala surat kerajaan negeri

Mohd Azmi berkata beliau menghormati keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang yang tidak mahu terlibat dengan acara HIMPUN.

Setahunya, tegas beliau, sememangnya tidak ada rancangan kerajaan negeri dijemput untuk dilibatkan secara langsung atau tidak langsung dalam program tersebut.

"Sebagaimana saya melihat, hak umat Islam berkumpul untuk membincangkan masalah yang berkaitan dengan umat Islam sendiri perlu dihormati, begitulah juga kerajaan negeri berhak untuk tidak mahu melibatkan diri mahupun memperakui acara tersebut.

"Tujuan saya menegaskan perkara ini ialah niat saya untuk menyatakan kepentingan umat Islam memberi perhatian serius kepada kelunturan akidah akibat pelbagai faktor dalaman dan luar, perlu dipandang berat oleh seluruh umat Islam," tegasnya.

Oleh itu, tambah Mohd Azmi, hasrat untuk menyatakan kegusaran di kalangan umat Islam tidak harus dipandang serong dan juga tidak sewajarnya dicemari oleh tindakan kotor.

"Saya berpandangan bahawa umat Islam yang sedang menghadapi tentangan dari dalam dan luar, perlu berwaspada dan usaha mengukuhkan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian mereka perlu dilakukan segera.

"Di samping itu, peruntukan undang-undang untuk tidak membenarkan pemurtadan orang Islam dengan sengaja oleh pihak tertentu juga perlu dikuatkuasakan.

"Saya tidak semasekali mahu mewujudkan ketegangan dalam masyarakat dan komited untuk mempertahankan keharmonian antara penganut agama di Negara ini asalkan kedudukan Islam, pegangan akidah umat Islam serta dan hak umat Islam di negara ini tidak digugat," tambahnya.

ADS