Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenyataan Nik Aziz pada Anwar jarang-jarang timbul'

Bekas exco hal ehwal Islam kerajaan Selangor Datuk Hasan Ali mendakwa rakyat tertanya-tanya pendirian Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya mengenai isu keselamatan Israel.

Lebih-lebih lagi, katanya, kenyataan dua pemimpin tertinggi PAS - yang menjadi rakan gabungan dalam Pakatan - pula dengan tegas menolak kewujudan negara Israel serta meminta ketua umum PKR itu menarik balik atau menyaman Wall Street Journal (WSJ) jika disalah lapor.

NONE Bahkan Hasan berkata ramai rakannya di Eropah dan negara Arab berhubung dengannya menyatakan mereka memandang berat dengan apa yang disuarakan oleh ketua pembangkang itu.

"Saya tidak mahu memanjangkan isu ini. Kita mahu Anwar menerangkan sama ada Pakatan Rakyat tidak menjalinkan hubungan langsung dengan Israel. Ini sangat penting.

"Atau (Pakatan) mesti mula menjalinkan hubungan. Kedua-duanya (kena) jelas. Rakyat tertanya-tanya," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Menurutnya, kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah "satu perkara yang jarang-jarang timbul" dalam sistem parti itu untuk mempersoalkan kenyataan Anwar berhubung isu tersebut.

Dilaporkan Nik Aziz mahu Anwar menarik balik kenyataannya yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan media itu atau menyaman media itu jika laporan berkenaan tidak benar.

Menteri besar Kelantan itu juga membuat gesaan itu dibuat selepas dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Syura Ulama PAS yang juga selari dengan pendirian parti itu supaya tidak mengiktiraf negara Israel.

Bahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan parti itu tidak mengiktiraf negara Israel kerana merampas hal rakyat Palestin untuk menubuhkan negara mereka.

Dalam perkara berkaitan, Hasan turut mempersoalkan pemimpin profesional dalam kepemimpinan PAS yang dianggapnya sebagai 'parasit' berhubung kenyataan Anwar itu.

"Tidak ada keluar kenyataan di atas (kenyataan) Datuk Seri Anwar. Rakyat ingin mendengar  daripada 'parasit' apa yang disuarakan oleh Anwar dalam Wall Street Journal," katanya.

Sementara itu, Hasan ketika menjelaskan ucapannya yang mendakwa Pakatan Rakyat akan membentuk republik jika menguasai Putrajaya, berkata itu "satu ramalan"  dari pelbagai sumber dalam blog, bahan penulisan dan perbicangan kumpulan tertentu.

Katanya, beliau memetik perkara itu dan menimbulkannya dalam siri ceramah jelajahnya di Bangi baru-baru ini dalam konteks membicarakan masa depan politik Malaysia.

"Itu merupakan ramalan berdasarkan idea-idea, bacaan dan penyelidikan yang dibuat dan dikumpulkan, akhirnya itulah konklusinya.

"Jadi soal nak jadi republik, tak jadi republik, saya rasa ia tidak menjadi masalah bagi saya," katanya.

Katanya, persoalannya yang timbul ialah sama ada "kita mahu menyisih sistem yang ada dalam konteks pembinaan negara pada hari ini".

ADS