Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco nafi projek cetuskan krisis PAS bernilai RM600j
Diterbitkan:  Mar 7, 2012 2:16 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Exco kerajaan negeri, Amiruddin Hamzah menafikan dakwaan bahawa kontrak projek mega pembinaan jalan di negeri itu yang mencetuskan krisis kepimpinan PAS Kedah yang turut membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bernilai RM600 juta.

amiruddin hamzah Sebaliknya, kata Amiruddin yang dipetik akhbar Sinar Harian , projek itu hanya bernilai RM60 juta setahun dan adalah mustahil untuk menawarkan sesuatu tender dengan harga tinggi jika dilihat kepada pendapatan negeri Kedah.

"Pendapatan negeri menjadikannya mustahil bagi kita untuk menawarkan suatu tender yang tinggi. Ia adalah mustahil untuk mencapai RM600 juta, " katanya dipetik akhbar itu.

Selain Amiruddin, seorang exco lain, Abd Ghani Ahmad juga menafikan dakwaan bahawa krisis kepimpinan Kedah adalah disebabkan oleh penganugerahan projek mega bernilai RM600 juta kepada sebuah syarikat berkaitan Umno.

Malah, dalam satu analisis, akhbar itu turut melaporkan, penubuhan jawatankuasa pemandu PAS bagi memantau dan membantu kerajaan negeri Kedah telah menimbulkan kebimbangan bahawa ia mungkin menjejaskan hubungan baik antara parti itu dan istana.

NONE Dalam pada itu, turut menjadi persoalan ialah adakah PAS telah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, selaku Sultan Kedah sebelum jawatankuasa pemandu itu ditubuhkan.

"Tanpa perkenan, tindakan ini boleh dilihat memandai-mandai dan juga campurtangan langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri. Adalah tidak manis apabila keputusan yang sepenting itu tidak diisytiharkan tanpa perkenan sultan," artikel itu dipetik.

Menurut artikel itu lagi, ia seolah-olah menunjukkan bahawa jawatankuasa pemandu telah mengambil alih kuasa Azizan yang telah mendapat perkenan Sultan untuk mentadbir negeri Kedah.

"Ini adalah satu tindakan yang sangat janggal yang boleh menjejaskan hubungan baik antara istana dan parti (PAS)," kata Sinar .

azlan Semalam, setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali dalam satu kenyataan media menafikan bahawa jawatankuasa pemandu telah ditubuhkan untuk merebut kuasa Azizan.

Katanya, jawatankuasa pemandu itu hanya akan berperanan sebagai penasihat mengenai isu-isu yang mungkin memerlukan maklum balas dari kepimpinan tertinggi parti itu.

ADS