Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
RM87.1j bina, ubahsuai, naik taraf surau sekolah
Diterbitkan:  Mar 30, 2012 5:25 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM87.1 juta bagi melaksanakan projek pembinaan, pengubahsuaian dan menaik taraf surau-surau di semua sekolah rendah dan menengah seluruh negara, pada tahun ini.

    

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata peruntukan yang merupakan sebahagian daripada Projek Insentif Luar Bandar yang terkandung dalam Belanjawan 2012 itu, akan melibatkan sejumlah 849 projek.

"Sebanyak 260 daripada projek itu melibatkan pembinaan surau-surau sekolah yang menelan belanja sebanyak RM48.7 juta.

    

"Peruntukan ini juga akan melibatkan proses mengganti surau lama melibatkan 24 buah yang melibatkan perbelanjaan RM4.9 juta dan 565 projek menaik taraf surau akan dilaksanakan dengam kos keseluruhan sebanyak RM33.4 juta," katanya.

    

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Perkhemahan Intergrasi Pasukan Badan Beruniform Agensi Bukan Kerajaan Sekolah Menengah Peringkat Negeri dan perasmian Surau Kem Rimba Ilmu Kampung Terusan, di Juasseh, di Kuala Pilah hari ini.

Puad berkata negeri Sabah dan Sarawak mendapat jumlah peruntukan yang tertinggi dengan 334 projek akan dilaksanakan di Sabah, manakala Sarawak mendapat 222 buah projek.

    

Katanya peruntukan pembangunan surau tersebut diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar.

     

"Dengan adanya surau yang lebih selesa ini, para pelajar tidak akan berkeliaran semasa menunggu sesi persekolahan di sebelah petang dan pihak sekolah boleh menjalankan kegiatan yang lebih bermanfaat," katanya.

- Bernama

ADS