Dua kali ditegur audit, kenapa k'jaan berdiam isu Pan Borneo? - MP Warisan
Seorang Ahli Parlimen Warisan hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan yang didakwa tidak mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab atas kelewatan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, walaupun perkara itu telah ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Ketika berucap di Dewan Rakyat, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap kelewatan projek lebuh raya itu, dengan membandingkan tindakan pantas diambil dalam kes membabitkan institusi berkaitan kerajaan.
"Saya mahu tanya di sini, sudah dua kali laporan audit memberikan teguran. Kenapa tiada tindakan?
"Sampai bila tiada siasatan menyeluruh? Sampai biarlah penguatkuasa akan terus berdiam dan tiada tindakan. Oh, kalau isu Tabung Haji, kalau isu Felda, kalau isu UITM tidak ngam dengan politik kamu, habis bongkar, habis kena dakwa.
"Jadi yang di Sabah macam mana? Dia kasi biar-biar. Tuan Yang di-Pertua, to be honest, saya saya sangat kecewa,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2026 Siri 2 pagi ini.
Laporan berkenaan yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, mendedahkan beberapa kelemahan dalam projek bernilai berbilion ringgit itu yang kini memasuki tahun ke-10.
Isnaraissah merujuk kepada siasatan baru-baru ini berhubung dakwaan rasuah membabitkan beberapa institusi berkaitan kerajaan.
Siasatan berkenaan menyaksikan beberapa ahli politik ditahan atau dipanggil untuk membantu siasatan, termasuk tokoh yang mempunyai kaitan dengan Umno, yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan persekutuan tetapi sejak kebelakangan ini secara terbuka mencabar gabungan PH pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapannya, Isnaraissah turut menggesa semua pihak di Sabah mengetepikan perbezaan dan memberi tumpuan kepada usaha menyiapkan Lebuh Raya Pan Borneo yang merentasi kira-kira 706 kilometer di seluruh negeri itu.
/file/attachments/orphans/PanBorneoHighwaygeneric051026Gamudaphoto2_777493.png)
Lebuh raya berkenaan meliputi laluan dari Sindumin ke Kota Kinabalu dan Kudat, Ranau ke Batu 32 Sandakan serta Batu 32 Sandakan ke Tawau.
Menurutnya projek berkenaan sudah lama dinantikan rakyat Sabah yang memerlukan jalan raya lebih selamat dan lebih baik.
"Ini adalah hak yang dinafikan setelah sekian lama rakyat tidak peduli siapa yang mula siapa yang ganti. Apa yang rakyat Sabah mahu tahu jalan dia orang siap, tayar dia orang tidak lagi pecah, perjalanan dia orang selamat dan ekonomi Sabah berkembang hasil daripada jaringan jalan raya yang baik,” katanya.
Projek Lebuh Raya Pan Borneo bermula pada 11 April 2016 dan pada asalnya dijadualkan siap dalam tempoh 69 bulan, iaitu pada 31 Disember 2021.
Bagaimanapun, kelewatan berpanjangan menyebabkan kos keseluruhan kontrak Fasa 1 meningkat daripada RM17.91 bilion kepada RM18.96 bilion, iaitu peningkatan RM1.05 bilion atau 5.9 peratus.
Audit mengenal pasti beberapa kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek sebagai antara faktor penyumbang, termasuk kegagalan memastikan tapak projek bersedia sebelum kerja dimulakan, kelemahan pelaksanaan di bawah model rakan penyampaian projek (PDP), kekurangan oleh kontraktor dan perunding, perubahan reka bentuk serta kerja pemindahan utiliti.
/file/attachments/orphans/parliament1_293812.png)
