Ketika rundingan politik semakin rancak menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, BN bertegas untuk bertanding di 21 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) mengekalkan pendirian untuk bergerak secara solo.

Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh, berkata gabungan itu terbuka untuk membincangkan pertukaran kerusi dengan bakal rakan kerjasama, namun tidak akan berkompromi mengenai jumlah keseluruhan kerusi yang akan ditandinginya.

"Jumlah 21 kerusi itu adalah satu ketetapan yang telah saya jelaskan, dan kami sedang berunding untuk mengekalkan jumlah tersebut.

"Kami sedang membincangkan kemungkinan pertukaran membabitkan beberapa kerusi, tetapi jumlah keseluruhannya mesti kekal pada angka 21," katanya, seperti dilapor The Star.

Angka tersebut adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya negeri yang lalu.

Ab Rauf menambah bahawa keputusan mengenai kerjasama gabungan itu akan diumumkan sebelum hari penamaan calon, selepas cadangan-cadangan tersebut diperhalusi dan dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Ketua menteri sementara itu turut mengesahkan bahawa semua nama calon yang dicadangkan oleh ketua-ketua bahagian Umno telah diserahkan kepadanya, namun menyatakan penelitian lanjut diperlukan sebelum pemilihan akhir dibuat.

"Semua nama telah diserahkan kepada saya. Ia masih perlu diteliti dan dianalisis dari pelbagai sudut sebelum saya boleh membuat penilaian," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong, menegaskan semula keputusan gabungan itu untuk bertanding secara solo dalam PRN tersebut.

Khoo, yang juga Pengerusi DAP Melaka, berkata kepimpinan parti komponen negeri telah bersetuju untuk tidak membentuk sebarang pakatan pilihan raya, dan sebarang bantahan dianggap sebagai pandangan peribadi.

"Tiada kerjasama akan dijalinkan; kami telah mencapai keputusan muktamad di mana ketiga-tiga parti (PKR, DAP, Amanah) bersetuju bahawa PH akan bertanding secara solo.

"Kita akan terangkan pendirian PH Melaka kepada pusat untuk mendapatkan maklum balas," kata Khoo seperti dipetik Berita Harian.

Dia menambah bahawa DAP akan bertanding di lapan kerusi di Melaka, manakala baki 20 kerusi akan dirundingkan dalam kalangan parti komponen PH yang lain.

PRN Melaka akan menyaksikan calon-calon bersaing untuk kesemua 28 kerusi di negeri tersebut.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, dengan hari penamaan calon pada 31 Oktober.