Hassan: Jangan guna duit rakyat 'bail out' syarikat penerbangan milik tauke kaya raya
Seorang ahli parlimen PKR hari ini mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan duit rakyat untuk "bail out" atau menyelamatkan syarikat penerbangan swasta yang berdepan masalah hutang.
Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) tidak menyatakan nama syarikat penerbangan yang dimaksudkannya namun memberi gambaran bahawa ia terkenal dengan slogan "semua orang boleh terbang", dipercayai merujuk kepada Air Asia.
"Saya minta kerajaan jangan gunakan duit cukai rakyat untuk bail out kalau ada syarikat-syarikat swasta... misalnya saya diberitahu ada syarikat besar, syarikat kapal terbang negara kita dengan cogan kata semua orang boleh terbang saya tak nak sebut nama syarikat itu sepenuhnya.
"Jadi sekiranya syarikat ini ketuk pintu Kementerian Kewangan minta tolong kerajaan saya harap kerajaan tolak, sebab kerajaan berhutang, walaupun syarikat ini penting.
"Tetapi saya dimaklumkan tauke-taukenya, pemegang-pemegang sahamnya, harta dia berbilion, jadi (minta mereka) selamatkanlah syarikat mereka sendiri, kerajaan ada urusan yang lain," katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) di Dewan Rakyat hari ini.
Hassan dipercayai merujuk masalah yang dihadapi syarikat penerbangan Air Asia yang kini berdepan masalah kewangan, antara lain susulan kenaikan kos bahan api yang melambung tinggi akibat konflik berkaitan Iran.
Pada 17 September lalu, saham Capital A Bhd dan AirAsia Group Bhd menjunam susulan laporan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan pelan luar jangka bagi operasi domestik syarikat penerbangan tambang rendah itu.
Penurunan saham entiti-entiti tersebut berlaku selepas laporan Reuters yang memetik sumber mendakwa bahawa Putrajaya telah bertanya kepada Malaysia Airlines (MAS) dan Batik Air sama ada mereka boleh mengambil alih bahagian pasaran domestik AirAsia.
MAS dan Batik Air dilaporkan memaklumkan kepada kerajaan bahawa mereka hanya akan mengambil alih operasi AirAsia secara besar-besaran sekiranya mereka juga boleh mengambil alih pajakan pesawat syarikat itu.
Gesa heret bekas menteri pertahanan ke mahkamah isu LCS
Sementara itu, mengulas mengenai projek Littoral Combat Ship (LCS) yang berdepan kelewatan, Hassan mencadangkan supaya bekas menteri pertahanan dan bekas ketua setiausaha kementerian pertahanan diheret ke mahkamah.
Katanya, isu ini merupakan perkara besar seperti mana skandal 1MDB, Lembaga Tabung Haji (TH) mahupun Felda.
Oleh itu dia menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menyiasat pihak yang terbabit dengan projek itu sejak tahun 2013.
"Dari 2013 hingga 2026, 13 tahun sebanyak lima kali kerajaan telah bertukar dan sebanyak lima menteri pertahanan dalam tempoh 13 tahun itu saya tak tahu berapa ramai ketua setiausaha yang yang terlibat dalam perolehan ini.
"Jangan jeneral-jeneral sahaja yang disiasat diheret ke mahkamah, dituduh, setakat ini panglima tentera darat diheret ke mahkamah.
"Saya lihat lima menteri pertahanan dari dulu sampai sekarang dan ketua setiausaha ni bukannya maksum, bukannya malaikat, siasat mereka," katanya lagi.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin dijangka memberi penjelasan berhubung isu berkenaan pada persidangan Parlimen petang ini.
Isnin lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 mendapati projek LCS mengalami kelewatan sebanyak 7.55 peratus setakat 25 Jun, sekali gus menjejaskan penyerahan fizikal LCS 1.
Kelewatan itu hadir ketika Sistem Pelancar NSM masih belum tersedia susulan pembatalan kekal permit eksport oleh kerajaan Norway.
Kementerian Pertahanan dalam maklum balas terhadap laporan berkenaan memaklumkan LCS 1 tidak dapat beroperasi pada keupayaan penuh tanpa sistem berkenaan dipasang.
Bagaimanapun, kementerian itu boleh mempertimbangkan penyerahan bersyarat, manakala kontraktor masih terikat secara kontrak untuk memasang dan mengintegrasikan sistem berkenaan.
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, kelewatan antara 30 hingga 108 hari boleh menjejaskan tarikh penyerahan paling awal yang dijadualkan pada 26 Ogos atau sasaran semakan pada 26 Disember.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/10/383e177e15a7d935fe7cc638247d26e3.jpg)
