Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tindakan polis membelasah petugas media yang membuat liputan sewaktu BERSIH 3.0 Sabtu lalu, peristiwa paling tragis sepanjang liputan pelbagai perhimpunan sejak 1998, kata Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar.

Beliau yang juga aktivis kebebasan media berkata belum ada "keganasan paling sistematik" terhadap wartawan dalam tempoh kira-kira sepuluh tahun ke belakang walaupun insiden seumpamanya bukan perkara baru.

NONE "Inilah kali pertama, dalam tempoh itu, antara tahun 1998 sehingga 2012, kali pertama kita melihat tindakan keganasan paling sistematik terhadap semua jenis wartawan.

"Pada 1998,1999 dan 2000, betul, polis ambil rakaman, polis rosakkan kamera, polis cabut rakaman video agensi (berita) luar, pijak depan orang ramai. Polis rampas kamera wartawan NST dalam peristiwa perhimpunan di Lebuh Raya KESAS pada 2000.

"Polis buat sekatan sepanjang lebuh raya... Tetapi belum ada peristiwa yang paling tragis terhadap wartawan sehinggalah Sabtu lalu," katanya dalam forum membincangkan keganasan polis dan pemadaman ( blackout ) berita di Kuala Lumpur malam tadi.

Sambil membaca senarai lebih 10 petugas media yang menjadi mangsa, Fathi menyifatkan perbuatan itu "paling sistematik" kerana turut melibatkan semua pihak, termasuk peguam.

"Ini yang kita dapat laporkan secara jelas. Tetapi saya percaya, ada berpuluh-puluh lagi petugas media yang verbally abuse pada hari kejadian.

"Mereka (polis) caci, maki, dan mengeluarkan kata-kata kesat bersifat perkauman, terhadap petugas media. Ini yang belum direkodkan," katanya.

Fenomena 'mobilisasi elit'

Fathi juga memuji tindakan akhbar berbahasa Cina yang menunjukkan solidariti kepada wartawan yang menjadi mangsa keganasan polis dengan memakai baju berwarna hitam sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia semalam.

"Ini kita salut kepada mereka... Ini atas sikap solidariti bersama dengan mangsa kekasaran (dan), keganasan polis.

"Mereka menghitamputihkan halaman (akhbar) sejak petang semalam (Rabu) lagi dengan meletakkan riben kuning untuk edisi petang surat khabar mereka," katanya sambil menambah ia berterusan sehingga petang semalam (Khamis).

NONE Malah, kata Fathi, akhbar Sin Chew Daily semalam turut mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memohon maaf kepada mereka.

"Bayangkan kalau Utusan atau Berita Harian buat benda yang sama," katanya sambil diiringi gelak ketawa para hadirin.

"Kita belum nampak, Utusan , Berita Harian , The Star buat macam tu... Saya nak beritahu satu titik perubahan dalam sejarah pergolakan revolusi dan kejatuhan rejim dunia ini, akan berlaku saatnya perubahan seperti Sin Chew Jit Poh ," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

Beliau menyamakan fenomena itu seperti "mobilisasi elit" di Indonesia melibatkan gedung perniagaan besar menjelang kejatuhan Suharto sebelum ini, yang menyaksikan belahan sokongan kumpulan itu.

ADS