Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Fuad Tukirin menafikan cuba menjatuhkan bosnya Mohd Fadil Muskon dengan melobi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Mohd Fuad mengakui beliau dan rombongan 17 Pemuda Umno bahagian di Johor berjumpa Khairy pada 8 Mei lalu tetapi ia tidak berkaitan dengan khabar angin untuk menjatuhkan Mohd Fadil yang dilantik sebagai ketua Pemuda negeri.

"Saya menafikan perkara tersebut. Tidak ada (buat) desakan apa-apa. Kenapa disalahtafsirkan. Kita mengunjungi beliau kerana mahu mengucap tahniah sebab dilantik menjadi pengerusi PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Bhd )," katanya Mohd Fuad sambil ketawa.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Mohd Fuad berkata pertemuan beliau bersama rombongannya dengan Khairy berlangsung di ketua Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mohd Fuad berkata kunjungan mereka itu tidak disertai Mohd Fadil yang juga ketua Pemuda Umno bahagian Ayer Hitam dan beliau "tidak pasti" sebab ketidakhadirannya.

"Saya pergi bukan atas kapasiti naib ketua pemuda Johor, tapi sebagai ketua pemuda bahagian ... Kita maklumkan (kepada semua) siapa nak pergi, pergilah," katanya yang juga ketua Pemuda Umno Bakri.

'Tidak salah manja-manja dengan bos'

Beliau diminta mengulas dakwaan berlaku pergolakan dalam pergerakan Pemuda Umno Johor yang diedarkan melalui e-mel sejak 15 Mei lalu dan dikatakan tersebar luas di negeri kubu kuat Umno itu.

Kumpulan itu juga didakwa memberi kata dua kepada Khairy untuk mengikut keputusan mereka atau mereka akan mendesak menteri besar Johor campur tangan untuk menukar ketua Pemuda Umno negeri.

Diminta mengulas dakwaan tindakan kumpulan mereka itu didalangi Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim, Mohd Fuad sekali lagi mengulangi dengan berkata:

"Tak ada desakan apa-apa. Kenapa buat tuduhan melulu. Yang lain-lain saya no comment (tiada komen)," katanya.

Selain mengucap tahniah kepada Khairy, Mohd Fuad berkata rombongannya turut membangkitkan rungutan terhadap kepada ahli parlimen Rembau itu supaya "tengok-tengok" Pemuda akar umbi di negeri itu.

"Beliau jarang turun. Jangan berada di Kuala Lumpur sahaja. Tidak salah nak manja-manja dengan ketua Pemuda, bos kami," katanya sambil ketawa.

"Kami tak ada baling batu, cakap belakang... Mesti ada pihak yang menangguk di air keruh," Katanya lagi.

ADS