Pengundi di Sabah kini hampir 1 juta

Pengundi berdaftar di Sabah kini berjumlah 926,638 orang, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar hari ini.
    
NONEBagaimanapun, seramai 258,943 rakyat Sabah berumur 21 tahun ke atas belum mendaftarkan diri sebagai pengundi.
    
"SPR menganggap jumlah ini besar, walaupun tidak sebesar di negeri-negeri lain. Tetapi kita mintalah rakyat yang layak mengundi supaya mendaftar," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan SPR dengan wakil parti-parti politik di Sabah mengenai Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya di Kota Kinabalu.
    
Wan Ahmad juga berkata semakan daftar pemilih di Sabah kini boleh dilakukan selama sebulan sejak 1 Jun lepas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip nombor kad pengenalan dan menghantar ke 15888 atau dengan menghubungi talian SPR Negeri iaitu 088-488588.
    
Mengenai perjumpaan itu yang disertai komponen parti Barisan Nasional dan pembangkang, beliau berkata 31 pasukan ditubuhkan bagi mewakili setiap kawasan Parlimen di negeri ini termasuk Labuan.

Menurutnya setiap kawasan Parlimen diwakili satu pasukan, manakala Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing mempunyai dua pasukan setelah mengambil kira keluasan kawasan dan jumlah pengundi.

Katanya pasukan itu berperanan memantau aktiviti parti atau calon ketika tempoh rasmi berkempen.
    
"Pasukan ini boleh menurunkan atau menanggalkan poster atau alat-alat kempen yang mempamerkan unsur-unsur fitnah, yang boleh memalukan calon, perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti hal peribadi seseorang, agama dan kaum serta mencetuskan kemarahan masyarakat," katanya.
    
Wan Ahmad berkata setiap pasukan diwakili seorang pegawai SPR, anggota polis berpangkat Inspektor atau lebih tinggi, pihak berkuasa tempatan dan wakil parti atau calon bertanding.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.