Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasukan kumpulan A masih berpeluang ke suku akhir Euro 2012

Tiga pasukan dalam kumpulan A masih berpeluang untuk merebut dua tempat untuk layak ke pusingan suku akhir Euro 2012, apabila perlawanan kedua kumpulan antara Poland dan Rusia awal pagi ini hanya mencatatkan seri 1-1.

Dengan itu, selepas dua perlawanan, Rusia menduduki tempat pertama dalam kumpulan itu dengan mengutip 4 mata dengan mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Republik Czech pada 9 Jun lalu, dan seri dalam perlawanan kedua menentang Poland awal pagi ini.

Manakala, Republik Czech menduduki tangga kedua kumpulan A apabila mengumpul tiga mata, manakala Poland pula mengutip dua mata, selepas seri dalam dua perlawanan.

Sementara Greece pula, bagai telur di hujung tanduk dengan mengutip selepas seri dan kalah dalam dua perlawanan. Mereka terpaksa bekerja keras menentang Russia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada 17 Jun ini.

Berdepan dengan pasukan Greece pada 17 Jun nanti, dilihat tidak menjadi masalah kepada skuad Rusia bimbingan jurulatih daripada Belanda, Dick Advocaat.

Di atas kertas, mereka hanya memerlukan sekurang-kurang keputusan seri dalam perlawanan tersebut bagi menjuarai kumpulan itu di samping mengharapkan keputusan seri antara Republik Czech-Poland pada tarikh yang sama.

Perlawanan sengit dijangka berlangsung antara Republik Czech-Poland bagi menghidupkan peluang merebut satu lagi tempat ke suku akhir. Sudah pasti kedua-dua pasukan akan bertungkus lumus dan menurunkan barisan terkuat untuk layak ke suku akhir.

Masing-masing mempunyai kelebihan khususnya Poland yang dilihat bakal membuat kejutan kerana bermain di laman sendiri. Rentak yang ditemui selepas dua perlawanan sebelum inibakal membuatkan penjaga gol Republik Czech Petr Cech bekerja keras.

Apatah lagi gandingan Robert Lewandowski - Jakub Blaszczykowski - Pawel Brozek - mampu merobek gawang Republik Czech.

Republik Czech pula pastinya tidak mahu mengalah, sudah pasti mengatur strategi menyerang sepertimana yang ditunjukkan dalam perlawanan menentang Greece awal pagi ini.

Gandingan mantap Tomas Rosicsky-Vaclav Pilar - Milan Baros, sudah pasti bakal mengkucar-kacirkan pertahanan Poland pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Wroclaw.

Bagi Greece pula, nasib mereka seperti 'nyawa-nyawa ikan' apabila setakat ini mengumpul satu mata dan mengharapkan keajaiban dalam bola sepak. Apa-apa boleh terjadi dalam bola sepak. Gandingan '3 Giorgos' - Karagunis - Fotakis - Samaras, mampu membawa keajaiban kepada pasukan bekas juara Euro 2004 itu.

Sementara itu, dalam perlawanan kedua kumpulan A awal pagi ini, Russia mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Poland di Warsaw.

Skuad bimbingan Dick Advoocat itu berjaya menyekat kemaraan serangan Poland dalam perlawanan yang disifatkan oleh media antarabangsa sebagai "Battle of Warsaw 2012" di ibu negara itu.

Gol Russia dijaringkan oleh pemain tengah kelab CSKA Moscow Alan Dzagoev yang menanduk masuk sepakan percuma yang diambil oleh penyerang Arsenal Andre Arshavin pada minit ke-36.

Manakala gol Poland pula, dijaringkan oleh pemain tengah kelab Borussia Dortmund, Jakub Blaszczykowski pada minit ke-57.

Gol rembatan 'bagai peluru' itu berpunca daripada umpanan rakannya dari sebelah kiri pintu gol Rusia, yang kemudiannya beliau menggelecek seorang pemain Rusia sebelum melepaskan sepakan kencang di luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Igor Akinfeev.

Sekurang-kurangkan enam percubaan Poland untuk menambahkan jaringan sejak wisel separuh masa kedua dibunyikan, bagaimanapun semuanya dinafikan oleh Akinfeev atau tersasar daripada gol.

Sepanjang separuh masa pertama, skuad Poland bimbingan Franciszek Smuda melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah pintu gol Rusia, di mana pada minit ke enam dan 10, tandukan dan sepakan 'halfvolley' penyerang berbisa mereka - Robert Lewandowski - dinafikan oleh penjaga gol Russia Igor Akinfeev dan ada yang melewati palang gol.

Peluang terbaik Poland hadir pada minit ke-17 apabila gol sepakan Rafal Wolski dibatalkan oleh pengadil kerana beliau bnerada dalam kedudukan off-side .

Manakala Rusia juga tidak kurang hebatnya apabila sekurang-kurangnya empat percubaan pada separuh masa kedua gagal dimanfaatkan oleh pemainnya atau ditangkap kemas oleh penjaga gol Poland Grzegorz Sandomierski.

Gandingan Arshavin-Kerzharkov-Dzagoev berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Poland dalam perlawanan kedua awal pagi ini.

ADS