Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Adalah baik untuk mempunyai kebebasan berhimpun tetapi ia perlu ada hadnya kerana sebuah kerajaan yang baik bukan hanya bertanggungjawab kepada kumpulan minoriti tetapi juga majoriti, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegasnya, semua kebebasan ada hadnya kerana kebebasan mungkin menceroboh atau menafikan kebebasan orang lain.

    

"Jadi, kita perlu menerima had ini, anda boleh mendapat kebebasan tetapi anda tidak boleh melangkaui sesetengah perkara kerana orang lain juga berhak untuk mendapat kebebasan," katanya dalam ceramahnya 'Akta Perhimpunan Aman 2012 - Masa Depan dan Cabaran' di Putrajaya semalam.

    

Beliau berkata kebebasan berhimpun juga tidak boleh digunakan sebagai senjata untuk memberi tekanan kepada kerajaan kerana apabila ini berlaku sepanjang masa, kerajaan tidak boleh membuat keputusan yang baik.

    

Dr Mahathir berkata walaupun Malaysia bukan sebuah negara demokrasi liberal tetapi masih mengamalkan demokrasi dalam erti kata rakyat boleh mengubah kerajaan melalui proses pengundian dan dengan ini ia tidak memerlukan rakyat untuk bangkit dan mengadakan revolusi.

    

"Tapi mereka (pembangkang) nampaknya percaya apabila anda berikan kebebasan berhimpun, ia tiada had dan bagi mereka yang berhimpun boleh buat apa saja dan anda tidak boleh buat apa-apa terhadap mereka.

    

"Kita masih belum bersedia untuk liberalisme. Saya fikir ia akan mencemarkan imej negara jika kita cuba menjadi begitu liberal seperti demokrasi liberal di barat," katanya.

    

Di negara ini, katanya ia masih terbuka untuk kritikan berbanding negara-negara lain yang (dikatakan) liberal, dan ia tidak perlu dicemari dengan demonstrasi, hanya semata-mata untuk menegakkan pendapat.

- Bernama

ADS