Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini menuntut perdana menteri supaya menubuhkan jawatankuasa khas untuk bertindak ke atas kebanjiran penjaja warga asing yang didakwa menjejaskan peluang perniagaan mereka.
Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah
(kanan)
mendakwa, ruang untuk perniagaan itu sepatutnya digunakan oleh peniaga tempatan khususnya oleh peniaga Melayu tetapi banyak ruang berkenaan kini digunakan peniaga asing.
Beliau mendakwa, keadaan itu antara lainnya berpunca daripada tindakan persatuan wakil peniaga dan pihak berkuasa tertentu yang menyewakan premis kepada peniaga warga asing.
Mohd Ridzuan juga bimbang tindakan "makhluk perosak" itu semakin berleluasa ketika ramai peniaga mencari peluang untuk berniaga di bazar Ramadan ketika bulan puasa kelak.
Malah perkara itu telahpun bermula walau Ramadan hanya akan menjelang pada bulan depan.
"Ada segelintir makhluk perosak yang jadi sebab warga asing ini masih ada. Sekarang nak musim puasa. Ada makhluk perosak yang dah sewakan tapak bazar ini pada warga asing.
"Kita tak nak buat apa-apa tindakan lagi. Kita tunggu jawapan daripada perdana menteri. Kami juga berhasrat nak buat temu janji untuk berjumpa perdana menteri.
"Pegawainya akan sampaikan hasrat kami itu," katanya lagi.
Beliau mendakwa, isu berkenaan telah dikemukakannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dua minggu lalu.
"Ada 51,000 peniaga (kecil) yang berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan 80 peratus (daripadanya) ali baba (sewa kepada peniaga asing).
"Mereka (peniaga asing) ini tidak bawa keuntungan kepada kerajaan kerana warga asing ini tidak bayar cukai pendapatan," dakwanya ketika ditemui sebelum menyerahkan memorandum berhubung tuntutan itu di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.
Beliau mendakwa isu berkenaan pernah diketengahkannya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur namun tiada jawapan memuaskan.
Oleh sebab itulah beliau hadir untuk menghantar memorandum berkenaan bersama kira-kira 250 orang peniaga hari ini, katanya.
Dalam perhimpunan itu, kumpulan berkenaan turut membawa kain rentang dan poster yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
IKHLAS merupakan kumpulan peniaga yang mengadakan demonstrasi di hadapan kediaman pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga 10 Mei lalu kerana mendakwa mengalami kerugian sewaktu perhimpunan 28 April.
